JERANTUT: Empat gerai makanan rentung dijilat api dalam kejadian kebakaran di Jalan Jerantut-Temerloh berdekatan Pasar Borong Jerantut, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, barisan empat buah gerai daripada enam pintu yang menjual makanan dan minuman termasuk kuih-muih terbakar, manakala dua buah gerai lagi selamat.
Penolong Penguasa Bomba Jerantut, Mohd. Zulkilfi Mohd. Zainal berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat di sini menerima panggilan kejadian itu daripada orang ramai pada pukul 11.48 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
“Seorang pegawai dan lima anggota bomba di sini tiba di lokasi dan terus melaksanakan operasi pemadaman sehingga tamat pukul 1.10 tengah hari.
“Kajadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zulkifli, operasi itu turut dibantu oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jengka yang terdiri daripada seorang pegawai dan lima anggota.
Sementara itu, seorang pengguna jalan raya Jerantut ke Temerloh, Esa Rahman berkata, dia memberhentikan kenderaan lalu melihat api mula marak daripada di gerai kedua dan mendapati seorang peniaga sedang memasak bergegas keluar ketika kejadian itu.
“Api marak begitu cepat kebetulan pula cuaca panas, berangin dan saya pun tidak tahu punca sebenarnya gerai ini terbakar.
“Saya bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa dan kecederaan dan memuji tindakan pantas anggota bomba memadamkan api daripada merebak keseluruhan gerai,” ujarnya. – UTUSAN