Ekonomi negara melonjak Mei ini

Ekonomi negara melonjak Mei ini

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) seperti imbasan MySejahtera dan pemakaian pelitup muka bakal melonjakkan lagi kedudukan ekonomi negara bermula 1 Mei ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menyifatkan, kelonggaran itu membolehkan semua pihak bergerak bebas, membeli-belah dan membenarkan perniagaan berjalan dengan lebih rancak di seluruh negara, terutama ia adalah minggu sambutan Aidilfitri.

Katanya, kelonggaran itu juga membuka ruang luas kepada pelabur asing dan peluang pekerjaan menjadi semakin cerah.

“Dijangka pertengahan bulan Mei, ekonomi berfungsi seperti sebelum Covid-19, kelonggaran ini adalah daya penarik pelabur asing serta pelabur baharu untuk ke Malaysia.

“Tidak mustahil pertumbuhan ekonomi negara mencapai lima ke enam peratus tahun ini kerana peluang pekerjaan bertambah, pendapatan pekerja bertambah dan kelonggaran ini mempunyai kesan domino serta memberi impak keseluruhan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau mengulas potensi lonjakan ekonomi negara selepas kerajaan melonggarkan lagi SOP menangani Covid-19 apabila memansuhkan imbasan kod QR MySejahtera dan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat terbuka bermula 1 Mei ini.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berpandangan, kelonggaran tersebut pastinya menarik lebih ramai kemasukan pelancong dari luar negara meskipun mata wang Ringgit Malaysia berada dalam keadaan lemah ketika ini.

“Kalau nilai mata wang Ringgit rendah lebih bagus kepada pelancong luar kerana mereka akan membawa masuk wang dolar Amerika Syarikat (AS) ke negara ini. Namun kalau pelancong Malaysia nak keluar negara akan terkesan dengan nilai Ringgit.

“Wang dolar juga lemah ketika ini, tetapi ini hanyalah gejala jangka pendek,” katanya.

Di sebalik lonjakan ekonomi yang positif, beliau berkata, kerajaan dan rakyat perlu sentiasa bersedia dengan simpanan masa hadapan kerana perlu berhadapan sebarang kemungkinan ekonomi kembali merudum.

“Dalam setiap tempoh 10 tahun, ekonomi dunia akan mengalami kegawatan, seperti yang berlaku pada 1998 dan 1999, 2007 dan 2008, kini 2020.

“Jadi, dijangkakan 2029 atau 2030 berlaku kegawatan ekonomi lagi. Masa itu kita semua perlu bersedia dengan simpanan masing-masing dan menggunakan peluang untuk melabur bagi menstabilkan ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN