GEORGETOWN: Dua wanita asing yang menjadi mangsa eksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks diselamatkan polis menerusi serbuan di sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas, di sini Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) JSJ Kontinjen Pulau Pinang telah menyerbu hotel itu dan menyelamatkan dua wanita berusia 27 dan 28 tahun berkenaan.
“Dalam serbuan ini, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga serta ejen turut ditahan. Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang diselamatkan bersama suspek yang ditangkap telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk tindakan lanjut.
“Mahkamah telah membenarkan tahanan reman selama enam hari ke atas kedua-dua suspek iaitu ejen dan penjaga untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana melakukan kesalahan pemerdagangan orang yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh didenda,” katanya.
Tambahnya, pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan ke atas orang dewasa atau kanak-kanak adalah satu kesalahan jenayah. – UTUSAN