fbpx

22 Mei 2022, 4:22 pm

  TERKINI

Dua sarang helang laut hilang di menara telekomunikasi di Terengganu

HELANG laut yang merupakan hidupan liar dilindungi sepenuhnya dikesan membina sarang di menara telekomunikasi di Kuala Nerus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua sarang burung helang laut atau nama saintifiknya, Haliaeetus leucogaster yang dikesan di menara telekomunikasi di negeri ini hilang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Terengganu,  Wong Chee Ho berkata, kehilangan sarang hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya itu dipercayai akibat dimusnahkan pengendali menara telekomunikasi atau diperdagangkan secara haram oleh individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, kejadian itu bukan perkara baharu memandangkan sarang aktif yang mengandungi anak helang spesis sama pernah dimusnahkan oleh syarikat telekomunikasi yang beroperasi di Merang, Setiu pada Januari 2021.

“Pada 31 Januari lalu, kita mengesan sebiji telur dan seekor anak burung helang laut yang baru menetas di sarang di menara telekomunikasi di Hulu Terengganu dengan induk jantan serta betina kerap membawa makanan ke sarang.

“Namun pada 16 Februari lalu, sarang aktif berkenaan hilang dan kes sama dikesan di Kuala Nerus apabila sarang yang digunakan bertahun-tahun oleh helang laut dan mengandungi seekor anak burung didapati dimusnahkan pada 18 Mac.

“Sekiranya sarang aktif ditemui, spesis burung yang dilindungi sepenuhnya itu tidak boleh dimusnahkan tetapi perlu dibiarkan tanpa gangguan sehingga anak burung itu terbang meninggalkan sarang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PEMANGSA

Chee Ho berkata, menara-menara telekomunikasi sememangnya menjadi pilihan beberapa burung pemangsa liar sebagai tempat pembiakan kerana mempunyai platform yang stabil, lokasi yang strategik dan ketinggian optimum. 

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia menggubal dasar bagi memastikan keselamatan pekerja penyelenggara di samping menjamin perlindungan hidupan liar yang bersarang di menara.

“Banyak negara lain sudah mempunyai protokol yang menyokong kewujudan bersama manusia-hidupan liar yang melibatkan menara telekomunikasi dan antara yang boleh dilakukan termasuk mengubahsuai struktur menara seperti menambahkan platform di lokasi yang lebih selamat dan jauh daripada peralatan yang digunakan oleh pekerja penyelenggara.

“MNS Terengganu berharap agar syarikat-syarikat telekomunikasi mengambil perhatian serius terhadap perkara ini sekali gus mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) mereka agar kita dapat melindungi warisan semula jadi yang sangat berharga,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI