Dua lelaki kerja ugut, simbah cat rumah mangsa  ah long diberkas - Utusan Malaysia

Dua lelaki kerja ugut, simbah cat rumah mangsa  ah long diberkas

WAN Hassan Wan Ahmad menunjukkan peralatan yang digunakan suspek dalam kejadian mengugut dan menyimbah cat di rumah peminjam ah long pada sidang akhbar di IPD Kota Setar di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis  menahan dua lelaki dipercayai bersekongkol dengan ah long bagi melakukan ugutan termasuk menyimbah cat di rumah peminjam yang gagal membayar hutang mereka.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kedua-dua diberkas antara pukul 12.10 sehingga 9.26 pagi dalam serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Tengah Pumpung di sini.

“Tindakan itu dilakukan setelah peminjam ah long terbabit tidak membayar hutang mereka dan kedua-dua lelaki ini mengugut untuk menyimbah cat di rumah mangsa. 

“Suspek dibayar upah sebanyak RM250 bagi setiap peminjam untuk melakukan ugutan serta menyimbah cat di rumah peminjam. Setakat ini mereka mengakui mengugut 11 peminjam ah long,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Setar di sini hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 25 dan 23 tahun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) bagi membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan sebatan bagi kesalahan kali kedua.

“Pihak polis turut mengesan seorang lagi suspek berusia 20 tahun disyaki terlibat dalam jenayah ini,” katanya.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati sindiket ah long ini  beroperasi sejak sebulan yang lalu di sekitar Alor Setar, Sungai Petani dan Kubang Pasu.

“Mereka menerima kerja-kerja menghantar notis ugutan dan simbah cat melalui Facebook dan kegiatan ini dilakukan pada awal pagi dari pukul lebih kurang 1  sehingga 4 pagi semasa mangsa tidur.

“Selepas tugasan dibuat, suspek akan mengambil gambar atau video dan dihantar kepada satu talian WhatsApp sebagai bukti tugasan dilaksanakan. Rundingan sindiket utama dengan suspek ini hanya melalui panggilan video dan mesej di applikasi WhatsApp, kerana sindiket utama tidak mendedahkan maklumat diri dan lokasi tempat mereka beroperasi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN