Dua juta belia peroleh manfaat ePemula, peruntukan RM300 juta - Utusan Malaysia

Dua juta belia peroleh manfaat ePemula, peruntukan RM300 juta

ISMAIL Sabri Yaakob melakukan gimik pelancaran ePemula pada Majlis Pelancaran ePemula di MMU Cyberjaya. - UTUSAN/AISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Seramai dua juta belia bakal memperoleh manfaat di bawah program e-Pemula melibatkan peruntukan RM300 juta.

Menerusi program itu, belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam e-dompet pilihan mereka, iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet yang mula boleh disemak sejak 11 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan program itu berkata, tujuan utama program ePemula adalah memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia. 

“Saya difahamkan keempat-empat penyedia e-dompet ini juga memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, mata terkumpul, diskaun dan banyak lagi manfaat menarik sepanjang tempoh program ini.

“Kerajaan berharap melalui ePemula, golongan belia yang layak akan berbelanja secara bijak dan menggunakan kredit RM150 tersebut untuk menyokong perniagaan para pengusaha tempatan, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara offline agar mereka dapat pulih sepenuhnya,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran itu di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, lebih banyak hasil negara dan lebih ramai rakyat, terutamanya golongan B40 yang boleh dibantu.

Secara keseluruhan, kata beliau, kerajaan yakin bahawa program seperti ePemula ini akan terus memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan yang inklusif buat semua lapisan rakyat dan perniagaan.

Pada masa sama, Perdana Menteri menyarankan kesemua usahawan, khasnya PMKS supaya mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutamanya ketika fasa peralihan ke endemik untuk membolehkan Keluarga Malaysia melakukan transaksi di kedai-kedai fizikal secara mudah, cepat dan lebih selamat.

Bagi pembeli pula, mereka tidak perlu lagi membawa dompet atau beg duit fizikal apabila sumber kewangan sentiasa ada dalam aplikasi e-dompet masing-masing.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kapasiti dan keupayaan belia akan dipertingkatkan bagi melahirkan pekerja mahir dan semangat patriotik serta tanggungjawab kepada negara juga akan dipupuk.

Sehubungan itu, katanya, Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi program dan aktiviti belia.

“Buat masa ini, melalui Bajet 2022, secara keseluruhan, sekurang-kurangnya RM1.2 bilion diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan golongan belia, seperti PerantiSiswa Keluarga Malaysia melibatkan kos RM450 juta.

“Ia akan diagih mulai Jun ini dan dijamin berkualiti tinggi dari jenama terkenal, bakal memanfaatkan kira-kira 350,000 mahasiswa yang mengikuti pengajian seperti diploma dan Ijazah Sarjana Muda, bagi membantu mereka mengikuti aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, katanya, inisiatif lain ialah majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun diberikan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan; iaitu meningkat berbanding RM800 sebelum ini membolehkan belia menjayakan agenda pemulihan melalui alam pekerjaan.

Bagi belia yang cenderung ke arah keusahawanan, kerajaan menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta khusus untuk belia melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keempat-empat e-Dompet yang mengambil bahagian melalui ePemula  boleh digunakan melalui jaringan peniagaan runcit yang melebihi 1.2 juta touchpoints. 

Katanya, jaringan yang luas ini akan memastikan pelaksanaan ePemula secara menyeluruh di seluruh negara, termasuk di bandar-bandar kecil, lantas memanfaatkan lebih ramai belia dan pelajar, selain membudayakan satu sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah, telus dan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya