IPOH: Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP) optimis Kempen UndiRinggit yang diperkenalkan berupaya mengukuhkan semula ekonomi domestik khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Presiden DPMP, Datuk Zahar Hashim berkata, menerusi kempen itu, ekonomi orang Melayu dapat dipertingkatkan melalui perbelanjaan sesama sendiri bagi mendapatkan barangan mahupun perkhidmatan milik syarikat bangsa itu.
Katanya, keadaan ekonomi yang terjejas selain situasi politik negara yang tidak memberangsangkan menyebabkan perlunya satu inisiatif bagi membantu ekonomi orang Melayu.
“Objektif UndiRinggit ini yang pertama adalah untuk memartabatkan ekonomi bangsa kita, orang Melayu. Jika kita lihat ekonomi orang Melayu kini ditambah dengan keadaan politik semasa adalah teruk.
“Malah, berdasarkan kajian yang dibuat mendapati golongan yang paling terjejas selepas pandemik Covid-19 adalah peniaga-peniaga kecil. Oleh itu, kita menjalankan kempen ini untuk membantu mereka. Jika kita boleh bersatu padu dengan berbelanja sesama sendiri, saya yakin ekonomi mereka tidak akan terjejas,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen UndiRinggit dan logo ZAGCare pada Majlis Iftar bersama 125 anak yatim dan asnaf di sini semalam.
Menurut beliau, kempen itu disasarkan kepada penjawat awam yang memiliki kuasa beli yang besar dalam pasaran.
Katanya, kempen tersebut juga dilihat tidak menjejaskan mana-mana pihak kerana rantaian bekalan sendiri dikawal oleh bangsa lain.
“Memang diakui kita tidak boleh lawan harga kerana mereka kawal rantaian bekalan. Sebab itu saya kata kita perlu jati diri untuk bantu bangsa kita. Jangan kerana beza RM1 dan RM2 kita pergi (membeli) tempat lain.
“Kita mahu memartabatkan ekonomi bangsa kita, soal bangsa lain terjejas memang tiada kerana mereka yang kawal rantaian bekalan,” katanya. – UTUSAN










