KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membelanjakan sejumlah peruntukan besar bagi mengatasi banjir kilat di sini dengan serta merta.
Menteri Wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu diminta Kabinet kepadanya dalam satu mesyuarat yang berlangsung hari ini.
Bagaimanapun, katanya, peruntukan yang dijangka melibatkan sumber DBKL itu nanti akan dibayar semula oleh kerajaan.
“Jadi sejumlah 9,000 staf DBKL akan berada di lapangan esok supaya dapat membantu kesan (punca) banjir kilat untuk jangka pendek dan jangka panjang,” katanya, malam tadi.
Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini.
Menurut Shahidan, pelan jangka pendek yang diambil oleh pihak DBKL adalah menempatkan pasukan pemantau banjir di lokasi hotspot.
Katanya, 25 kumpulan ditugaskan dengan kekuatan 10 orang bagi setiap kumpulan untuk melakukan kerja-kerja pengorekan scupper drain apabila banjir kilat berlaku.
Selain itu, ujarnya, pihaknya juga bakal menempatkan pam air mudah alih untuk diletakkan di kawasan hotspot banjir yang berfungsi untuk memindahkan lebihan air yang bertakung ke kawasan yang bersesuaian seperti kolam takungan banjir dan juga kawasan sungai yang paras airnya masih di bawah paras berjaga-jaga.
“Seterusnya, membaiki dan melebarkan longkang sedia ada bagi memudahkan aliran air mengalir ke kawasan takungan air, menaik taraf longkang tepi jalan, menaik taraf longkang monsun dan menambah outlet.
“DBKL juga akan menyelenggara secara berterusan aset tebatan banjir dan mengorek kelodak di sungai (bagi mendalamkan sungai),” jelasnya.
Shahidan menambah, pelan jangka panjang yang telah dan akan diambil oleh DBKL adalah dengan membina On Site Detention (OSD) bawah tanah untuk menampung lebihan air apabila Flap Gate tertutup serta menaiktaraf sistem perparitan sedia. –UTUSAN