Dadah: Dua buruh lelaki warganegara Indonesia ditahan

Dadah: Dua buruh lelaki warganegara Indonesia ditahan

DUA buruh Indonesia yang ditahan oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah di dua lokasi berasingan kerana terlibat penyalahgunaan dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKAH:  Polis Mukah menahan dua buruh di dua lokasi berasingan pada Selasa kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Berdasarkan saringan awal air kencing ke atas ketiga-tiga suspek itu didapati masing-masing positif dadah jenis Amphetamine.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias kes pertama melibatkan dua lelaki warganegara Indonesia yang ditahan di sebuah pondok di sebuah ladang di Mukah sekitar jam 12.45 tengah hari oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah.

“Hasil pemeriksaan di pondok itu kita telah menjumpai satu bag kecil berzip warna hitam tidak berjenama di atas tanah berhampiran kedua-dua suspek yang ditahan

“Pemeriksaan lanjut di dalam bag tersebut, kita menjumpai lima paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 10.55 gram (nilai anggaran RM 1055),” tambahnya.

Kesemua barang dirampas untuk dijadikan barang kes dan kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak bulan Februari tahun 2022 sehingga sekarang namun tidak mempunyai jenayah lampau.

Di lokasi berasingan, pada jam 5.30 petang di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Tegak Mukah sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah telah menahan dan memeriksa seorang lelaki di dalam sebuah bilik kedua sebelah kanan rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek berusia 52 tahun itu kita menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.46 gram (nilai anggaran RM 100)

“Suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah bersama barang rampasan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal juga mendapati suspek terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak tahun 2015 sehingga kini dan mempunyai tiga kes dadah lampau,” ujar beliau.

Untuk itu kedua-dua buruh asing berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala seorang buruh tempatan yang ditahan, disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan boleh dikenakan tiga hingga sembilan kali sebatan.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau didenda tidak melebihi RM 5,000 serta pengawasan polis tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Sabitan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama iaitu boleh dipenjarakan selama tidak lebih lima tahun atau didenda tidak lebih daripada  RM 100,000 atau kedua-duanya sekali.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN