Covid-19: Tukar strategi jika varian baharu XE lebih serius

Covid-19: Tukar strategi jika varian baharu XE lebih serius

KHAIRY Jamaluddin (tengah) meninjau sekitar hospital pada lawatan kerja di  HRPB Ipoh hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Kesihatan akan menukar strategi kawalan Covid-19 sekiranya mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE lebih serius dan berisiko kepada pesakit.

Menterinya, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, sehingga kini tiada laporan berlaku jangkitan Covid-19 membabitkan Omicron XE direkodkan di negara ini berbanding negara jiran, Thailand.

Katanya, kementerian sedang memantau perkembangan mutasi baharu itu bagi mengenal pasti ciri-ciri dan kesannya termasuk kadar kebolehjangkitan dan keseriusan wabak itu.

“Kita pun tidak tahu apakah ciri-ciri varian ini namun ada dua perkara yang kita lihat bagi varian baharu iaitu kadar kebolehjangkitan dan keseriusannya.

“Kebolehjangkitan Omicron contohnya adakah tinggi berbanding Delta, sebab itu kes melambung naik namun tahap keseriusannya adalah lebih sederhana berbanding Delta. 

“Disebabkan itu penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) tidak penuh macam dulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ding Lai Ming.

Menurut Khairy, pihaknya turut memantau perkembangan varian baharu Omicron di negara lain sebelum membuat keputusan dari segi kawalan wabak berkenaan.

“Untuk varian baharu ini, kita kena lihat  negara lain sama ada kebolehjangkitan tinggi atau keseriusannya tinggi. Berdasarkan itu, baharulah kita boleh ambil langkah-langkah sepatutnya.

“Jika keseriusannya tinggi di mana orang itu dijangkiti dan selepas itu betul-betul sakit sehingga masuk ke hospital, maka strategi kita (langkah kawalan) perlu tukar, buat masa ini strategi kita tetap,” katanya.

Media semalam melaporkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap satu mutasi baharu varian Omicron digelar XE, yang dijangka lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian Covid-19.

WHO menerusi laporan terbaharunya berkata, varian tersebut merupakan gabungan mutasi hibrid dua versi terdahulu bagi Omicron iaitu BA.1 dan BA.2

Mutasi yang baru dikenal pasti ini diramal kira-kira 10 peratus lebih mudah berjangkit berbanding sub-varian BA.2, namun kajian lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN