PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berhasrat melahirkan banyak premis CoopMart untuk menjual barangan keperluan harian termasuk ayam dengan harga amat murah.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara tersebut tidak mustahil kerana sudah ada beberapa kedai koperasi yang didapati telah mampu menawarkan produk runcit pada kos rendah.
“Saya difahamkan memang ada sebuah koperasi terkenal dapat jual seekor ayam di kedai yang diuruskan hanya RM5 seekor tanpa masalah besar pun kerana banyak bekalan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Coop Community Mart diuruskan Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Dewan Seri Pudina, Presint 17, di sini hari ini.
Premis runcit komuniti itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Haron.
Pada program tersebut, logo CoopMart dilancarkan sebagai penjenamaan semula imej kedai koperasi komuniti yang ketika ini sudah pun terdapat sejumlah 2,581 buah di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Noh berkata, premis tersebut berupaya membantu pihak kerajaan ‘berjihad’ memerangi manipulasi harga oleh kelompok orang tengah yang menyebabkan kos mahal.
“Bayangkan ada koperasi boleh jual ayam jauh lebih murah daripada pasaran kerana berupaya ternak lebih 60,000 ekor di ladangnya dan usaha sebegini bukanlah mustahil,” tambahnya.
Bahkan beliau dalam nada optimis berkata, jika semua koperasi bersatu dalam bidang bisnes, mereka mampu menjual harga petrol RON95 sekitar RM2 sahaja untuk dinikmati pelanggan.
Hasrat itu ujarnya, jika berjaya direalisasikan turut menolong dalam meringankan beban kos sara hidup tinggi yang terpaksa ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah atau B40.
Justeru tambah Noh, perang membasmi orang tengah wajar digembleng menerusi gerakan koperasi di seluruh negara kerana potensi besar itu belum dimanfaatkan lagi sebaik mungkin.
Sehubungan itu, pihak kementerian beliau sedia bekerjasama erat dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan SKM bagi menjayakan matlamat tersebut. – UTUSAN










