LIPIS: Hasrat seorang remaja perempuan, Nuraisya Sofiea Sahdan, 14, untuk menggayakan cincin besi di jari manisnya pada Aidilfitri ini terpaksa dilupakan apabila aksesori itu tersangkut dan sukar ditanggalkan di jari manis tangan kanannya.
Kejadian itu menyebabkan jarinya mula membengkak dan pelajar yang tinggal di asrama sebuah sekolah menengah di Padang Tengku di sini terpaksa dibawa oleh gurunya ke Balai Bomba Kuala Lipis untuk mendapatkan bantuan kira-kira pukul 8.36 malam tadi.
Ketua Balai Bomba Lipis, Haslizan Ramli berkata, setelah memaklumkan kepada gurunya tentang cincin besinya sukar ditanggal pada pukul 8 malam semalam, pelajar berkenaan terus dibawa ke balai bomba untuk meminta bantuan dengan anggota yang bertugas.
“Jari mangsa juga membengkak kesan cincin besi yang sukar ditanggalkan itu berikutan saiz jari membesar. Anggota bomba berjaya mengeluarkan cincin dalam tempoh kira-kira 20 minit dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Haslizan, kerja menanggalkan cincin dengan peralatan khas dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan jari tangan mangsa.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memastikan anak masing-masing tidak menjadikan cincin besi bersaiz kecil dan keras sebagai alat aksesori di jari tangan ataupun sebagai satu permainan di anggota badan yang kemungkinan sukar ditanggalkan dalam tempoh yang panjang.
Sementara itu, Nuraisya Sofiea Sahdan berkata, dia mengenakan cincin besi itu sebagai aksesori hanya ‘suka-suka’ untuk berhari raya tidak lama lagi.
“Pada awal pemakaiannya, cincin besi ini boleh ditanggal, tetapi lama-kelamaan sukar ditarik keluar menyebabkan pergelangan jari mula membengkak dan sakit,” jelasnya. – UTUSAN










