Buruh paksa: MTUC desak ambil langkah proaktif

Buruh paksa: MTUC desak ambil langkah proaktif

MTUC Kamarul Baharin Mansor
KAMARUL BAHARIN MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menangani isu buruh paksa yang mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. 

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, MTUC gusar terhadap laporan buruh paksa yang berlaku di negara ini yang boleh mendatangkan keburukan kepada penjualan hasil keluaran Malaysia terutama pengeluaran minyak sawit dan produk sarung tangan.

Katanya, ini kerana tindakan untuk menyiasat mana-mana syarikat selepas laporan buruh paksa dilaporkan dan sekatan barangan ke atas produk negara ini merupakan satu tindakan yang terlewat sehingga berlakunya penutupan kilang dan pemberhentian pekerjaan. 

“Adalah malang bagi pekerja yang diberhentikan selepas syarikat ditutup akibat sekatan barangan. Kerajaan perlu melakukan langkah drastik dengan mendakwa syarikat dan memenjarakan pengarah syarikat atas kesalahan buruh paksa.

“MTUC juga mencadangkan agar penambahan pegawai di Kementerian Sumber Manusia bagi membuat lawatan dan pemeriksaan secara berkala. Indikator buruh paksa ini memerlukan pegawai kementerian itu untuk sentiasa memeriksa dan menyiasat tempat pekerja asing. Kegagalan membuat pemeriksaan secara berkala adalah faktor utama yang menyebabkan aktiviti buruh paksa berlaku. 

“Dimaklumkan bahawa kekuatan pegawai sekarang adalah 400 orang bagi membuat pelbagai tugasan, jadi adalah mustahil untuk pegawai memeriksa setiap syarikat yang mengajikan pekerja asing. Jika di buat secara rutin maka pemeriksaan berkemungkinan hanya dilakukan  setiap dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Sehubungan itu, Kamarul Baharin menggesa kerajaan memperkasakan kesatuan sekerja dengan mewajibkan setiap syarikat mempunyai kesatuan tersebut. 

Katanya, ini kerana kebanyakan syarikat yang dilaporkan melakukan aktiviti buruh paksa terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai kesatuan sekerja.

Susulan itu, katanya, dasar baru ini akan membantu kerajaan dalam menyelesaikan isu buruh paksa.

“Kesatuan Sekerja boleh menjadi mata-mata kepada kerajaan dengan melakukan pemeriksaan kendiri terhadap Syarikat. Dasar ini selaras dengan ratifikasi kerajaan pada Konvensyen 98 (C98) Pertubuhan Buruh Antaranbangsa iaitu Hak untuk Mengorganisasi dan Perjanjian Bersama. 

“MTUC sudah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pandangan dan nasihat berkaitan buruh paksa dalam satu kunjungan pegawai MTUC bagi menyatakan pendirian kami menentang aktiviti buruh paksa.

“Dalam kunjungan tersebut, MTUC memaklumkan kepada Kedutaan bahawa MTUC perlu dilibatkan di dalam sebarang siasatan berkenaan buruh paksa di Malaysia. Keterlibatan MTUC dalam isu buruh paksa bagi menjamin kesejahteraan pekerja-pekerja asing dan menjaga kepentingan pekerja secara keseluruhannya,” jelasnya. 

Beliau menambah, MTUC juga mengajak seluruh syarikat di Malaysia supaya dapat bekerjasama dengan MTUC dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi membenteras aktiviti buruh paksa. 

“Langkah Syarikat FGV Sdn Bhd bersama-sama dengan ILO dalam memberi kesedaran kepada pekerja asing di ladang-ladang adalah usaha untuk membersihkan imej Malaysia yang tercemar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya