PETALING JAYA: Penembak negara, Johnathan Wong mempunyai peluang untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.
Perkara itu ditegaskan jurulatih menembak negara, Firdaus Abdul Rahim tentang sasaran yang ditetapkan berdasarkan pemerhatian kepada penembak tunggal negara ke temasya itu.
Menurut beliau, sasaran pingat emas itu bukan hanya ditetapkan olehnya, malah Johnathan turut bersetuju sebaik sahaja melayakkan diri ke temasya empat tahun sekali itu.
“Johnathan akan beraksi buat kali kedua di pentas Olimpik. Saya tahu jika sasaran saya letakkan kepadanya (Johnathan) orang ramai akan memandang remeh terhadap usahanya itu.
“Saya lihat berdasarkan pemerhatian ketika latihan. Beliau konsisten membidik 580 mata menerusi acara 10 meter (m) pistol angin. Itu satu pencapaian yang amat memberangsangkan.
“Seseorang penembak itu penting mencatat mata tinggi yang konsisten supaya mudah untuk mencapai sasaran ketika kejohanan antarabangsa nanti,” kata Firdaus.
Johnathan baru-baru ini menamatkan siri Piala Dunia di Azerbaijan dan akan menyertai beberapa kejohanan tempatan sebagai perancangan sebelum berlepas ke Paris.
Dalam pada itu, Firdaus turut berkongsikan Johnathan terlepas peluang berharga untuk menguji lapang sasar Olimpik kali ini berikutan tidak menerima jemputan.
“Johnathan sepatutnya menguji lapang sasar menembak Olimpik tapi kita tidak menerima jemputan. Jadi kita merangka perancangan lain seperti mencari kejohanan lain sebagai ganti.
“Kejohanan terbabit ialah di Azerbajian iaitu kejohanan tempatan, siri Piala Dunia dan juga di Jerman. Kami masih mencari rentak yang sesuai dalam tiga kejohanan di Baku (Azerbajian) Berlin dan Munich (Jerman) sebelum ke Paris,” katanya.
Azerbaijan menjadi pusat latihan Johnathan di Eropah, menyaksikan beliau menjalani latihan bermula 6 hingga 18 Mei ini bersama atlet Olimpik di negara berkenaan.
Untuk rekod, penembak berusia 32 tahun itu berjaya melayakkan diri ke Olimpik buat kali kedua menerusi acara 10m pistol angin selepas menduduki carta keempat pada Kejohanan Menembak Dunia di Changwon, Korea Selatan. – UTUSAN










