KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, sedia menempatkan anggota dan jentera di tiga lokasi rehat dan rawat (R&R) di kedua-dua arah sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sepanjang tempoh musim cuti perayaan Aidilfitri tahun ini.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, lokasi itu membabitkan hentian R&R Genting Sempah, Temerloh dan Gambang.
Menurutnya, penempatan tujuh anggota penyelamat dan sebuah jentera di setiap lokasi terbabit sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kemalangan bermula 25 April sehingga 9 Mei ini.
“Pasukan ini bertugas secara giliran selama 24 jam yang mana kita turut menyediakan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) iaitu ambulan bomba bersama jentera bomba.
“Di jalan Persekutuan pula, kita melakukan rondaan dan tidak mempunyai kawasan tertentu seperti yang disediakan di LPT,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya sempena perayaan Aidilfitri 2022 di Kuantan City Mall di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohamad Zaidi berkata, pihak penyelamat sentiasa bersiap-siaga dalam memberikan respon dan khidmat kebombaan yang terbaik kepada masyarakat bukan sahaja di musim perayaan malah setiap masa.
Katanya, perhatian tidak hanya tertumpu kepada lebuh raya sahaja malah membabitkan jalan persekutuan.
“Bagi jalan Persekutuan dan sekitar, balai-balai akan mengambil tanggungjawab untuk melakukan pemantauan. Unit-unit motosikal khususnya akan membuat rondaan ke kawasan-kawasan dikenalpasti berisiko tinggi kemalangan agar dapat bertindak dengan lebih cepat,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, sebanyak 311 bangunan di negeri ini telah diperiksa bagi tujuan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) khususnya membabitkan premis berisiko sepanjang tahun lalu.
“Sebanyak 200 pasar raya dan lapan buah hotel telah diperiksa bagi memastikan sistem kebombaan berada dalam keadaan baik, premis selamat dari bahaya kebakaran, laluan tidak terhalang dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan premis.
“Kita juga turut mengadakan 77 kempen keselamatan kebakaran secara ‘door to door’ kepada orang awam, agensi kerajaan dan swasta serta agensi bukan kerajaan (NGO),” katanya. – UTUSAN