BLESS 2.0 terima 1,280 permohonan daripada 573 syarikat asing

BLESS 2.0 terima 1,280 permohonan daripada 573 syarikat asing

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerima 1,280 permohonan daripada syarikat asing bagi membuka bisnes sepanjang 2020 dan 2021.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu hasil penambahbaikan diperkenalkan melalui Sistem Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS) versi 2.0.

“Permohonan menerusi sistem ini dilihat telah mempermudahkan proses permohonan syarikat asing serta menarik minat ramai pelabur luar,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

BLESS 2.0 ujarnya merealisasikan konsep ‘Ease of Doing Business’, Revolusi Perindustrian 4.0 dan pendigitalan negara dengan prosedur permohonan syarikat dari luar ditambah baik.

Permohonan dilakukan secara atas talian yang mampu menampung dan mempercepatkan proses semakin meningkat akhir-akhir ini sekali gus menarik pembukaan banyak cawangan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sejumlah 573 syarikat asing memohon bagi menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di seluruh Malaysia pada dua tahun itu.

“Perniagaan mereka didapati sebagai meliputi bidang peruncitan, pengedaran, makanan dan minuman dengan jumlah kumulatif modal berbayar yang sebanyak RM11.383 bilion,” katanya.

Inisiatif baharu oleh kementerian tersebut tambah beliau, secara tidak langsung telah pun berjaya mewujudkan sejumlah 33,123 peluang pekerjaan baharu dalam pasaran buruh tempatan.

Sementara itu, 87 permohonan diluluskan bagi sektor perkhidmatan tidak dikawal selia seperti firma perunding, ejen logistik, hartanah serta perkhidmatan pembaikan mesin dan peralatan.

Kementerian itu katanya, menerima sebanyak 149 permohonan menerusi BLESS 2.0 untuk sektor ini dengan jumlah keseluruhan modal berbayar dibawa masuk asing ialah RM829 juta.

Sepanjang dua tahun itu jelas Alexander, kementeriannya meluluskan permohonan syarikat asing daripada 31 negara bagi membuka perniagaan sektor perkhidmatan tidak dikawal selia.

“Syarikat dari Jepun yang paling banyak diluluskan BLESS 2.0 untuk sektor bisnes ini iaitu 132 buah, diikuti Singapura (70), Britain (46), Korea Selatan (38) dan Australia (19),” tambahnya.

Untuk sebarang informasi lanjut, pihak pemain boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan di talian 03-88825881/5905 atau e-mel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN