Bila nak gubal RUU Pendanaan Politik? - KRPPM

Bila nak gubal RUU Pendanaan Politik? – KRPPM

parlimen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) menggesa kerajaan menyatakan status terkini Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

Katanya, usaha memperkenal RUU tersebut bermula pada 2008 dengan diterajui Transparency International-Malaysia (TI-M) dan pada 2015, satu lagi usaha dilakukan oleh kumpulan G25 bersama-sama kira-kira 70 badan bukan kerajaan (NGO).

“Berdasarkan pengetahuan kami, usaha terkini  dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila satu rang undang-undang dirangka, namun tidak dibentangkan,” katanya dalam kenyataan.

KRPPM menegaskan, masyarakat berhak mengetahui komitmen kerajaan dalam mempertingkat ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem politik negara dan ia amat penting menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelasnya, pembaharuan dalam pendanaan politik menjadi antara tunjang dalam usaha transformasi politik Malaysia dan ia adalah langkah penting dalam perjuangan memerangi rasuah dan membasmi penyalahgunaan dana awam.

Justeru, KRPPM menuntut penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kami secara khusus menanti untuk bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) ke arah Undang-undang Pendanaan Politik yang dipersetujui bersama supaya dapat menambah baik kebertanggungjawaban parti politik di negara ini.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa pembentangan Akta Pendanaan Politik kekal menjadi keutamaan kami berdasarkan kepada semakan semula separuh penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menyatakan Disember 2022 sebagai penanda untuk menjalankan satu kajian mengenai penggubalan undang-undang baharu berkaitan sumbangan dana politik,” katanya.

KRPPM ditubuhkan pada 20 April lalu selepas diluluskan oleh Setiausaha Dewan Rakyat dan dianggotai sembilan Ahli Parlimen dari sembilan parti kerajaan dan pembangkang serta seorang Ahli Dewan Negara.

KRPPM dipengerusikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari serta dianggotai ahli Parlimen kerajaan iaitu Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Julau, Larry Soon.

Ahli Parlimen pembangkang dianggotai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) manakala Senator Fadhlina Sidek mewakili Dewan Negara.

KRPPM juga dianggotai enam organisasi masyarakat sivil (CSOs) serta dua individu pakar, antaranya Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Agora Society, Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Engage Network, Bait Al-Amanah, G25 Malaysia, BERSIH, Rasuah Busters dan TI-M. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN