KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh rakyat agar bersama-sama mengekalkan status sifar malaria di negara ini.
Titah baginda, syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja warga asing perlu memastikan kakitangan mereka disaring penyakit malaria sebelum datang ke negara ini.
“Individu-individu yang mempunyai sejarah menjalankan aktiviti-aktiviti berisiko jangkitan malaria dalam masa terdekat pula perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena kempen Perlis Hebat, Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan serta memperingati Hari Malaria Sedunia yang disambut pada 25 April setiap tahun.
Hari peringatan tersebut adalah bagi memberi kesedaran dan meningkatkan pengetahuan masyarakat dunia berkaitan penyakit malaria.
Tema yang ditetapkan bagi sambutan Hari Malaria di Malaysia pada tahun ini adalah Memanfaatkan Inovasi Dalam Mengawal dan Mencegah Kematian Malaria.
Ia bertujuan menggalakkan inovasi serta memperluaskan penggunaan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan strategi mengawal malaria.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim memberitahu, meskipun Malaysia telah mencapai status sifar malaria sejak 2018 namun negara ini masih terdedah kepada kemasukkan kes import penyakit berkenaan.
“Trend peningkatan malaria zoonotik daripada spesies Plasmodium Knowlesi yang berpunca daripada monyet juga amat membimbangkan.
“Justeru, penglibatan semua pihak serta komuniti penting agar dapat bersama-sama mencegah jangkitan malaria di negara ini khususnya di Perlis,” katanya. – UTUSAN