Belajar digital: Sekolah Enuma bantu murid B40

Belajar digital: Sekolah Enuma bantu murid B40

PELANCARAN Sekolah Enuma Malaysia yang diadakan secara maya, semalam. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Telekom Malaysia Berhad (YTM) dengan kerjasama Teach For Malaysia serta Enuma, Inc. membangunkan aplikasi pembelajaran digital Sekolah Enuma untuk membantu kira-kira 600 pelajar daripada komuniti B40 di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Sekolah Enuma bertujuan membantu murid berusia lima hingga lapan tahun menangani cabaran pembelajaran seperti akses internet terhad atau kekurangan peranti dan bahan belajar.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Enuma, Inc., Sooinn Lee berkata, aplikasi tersebut mempunyai banyak aktiviti pembelajaran, permainan, e-buku dan video mesra kanak-kanak yang direka khas berdasarkan budaya serta nilai Malaysia.

“Murid akan belajar melalui permainan mesra kanak-kanak yang dibangunkan pereka berpengalaman menjadikan sesi pembelajaran menyeronokkan, menarik dan ditentukan sendiri oleh mereka.

“Aplikasi ini amat sesuai digunakan di lokasi terpencil dan komuniti yang kekurangan guru terlatih kerana setiap murid boleh belajar secara bebas dan menjadi penggerak kepada perjalanan pembelajaran mereka sendiri,” katanya ketika majlis pelancaran Sekolah Enuma Malaysia secara maya semalam.

Majlis itu turut disertai Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Najib Ab. Rahman; Pengarah YTM, Izlyn Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia, Chan Soon Seng.

 Sementara itu, Izlyn berkata, kerjasama tersebut adalah lanjutan daripada sokongan YTM terhadap ekosistem pendidikan terutama dalam menggalakkan pembelajaran digital dalam kalangan pelajar prasekolah dan sekolah rendah.

“Ia juga sejajar dengan aspirasi Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk memacu Digital Malaysia serta menyokong agenda kerajaan dalam mentransformasi pendidikan digital. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN