KUANTAN: Bekas kakitangan Felda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen penerimaan bayaran, dua tahun lalu.
Bekas penyelia yang bekerja di Pejabat Rancangan Felda Sebertak, Bera itu mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, Muhammad Aizat Ziadi, 33, memalsukan senarai akaun penerimaan bayaran tunai paysheet (PS) bagi November pada 2020 dan pendahuluan (PT), Disember, 2020.
Tertuduh didakwa dengan niat melakukan penipuan dan dengan curangnya memalsukan tandatangan peneroka-peneroka dengan niat hendak menyebabkan supaya dokumen itu dipercayai telah dibuat.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 464(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, Muhammad Aizat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang beralamat di Taman Temerloh Jaya, Temerloh itu didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar November dan Disember pada 2020.
Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari menawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Muhammad Aizat yang tidak diwakili peguam itu memohon agar jaminan dikurangkan dengan jumlah yang minimum berikutan baharu mendapat pekerjaan setelah berhenti memegang jawatan di pejabat Felda.
“Saya baharu memulakan kerja baharu sebagai mechanical filter di Pengerang, Johor dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,200. Dalam pada itu, saya masih mempunyai tanggungan iaitu ibu, ayah dan kakak,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan bermula April sehingga kes selesai.
Kes disebut semula 25 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – UTUSAN