PUTRAJAYA: Bekas Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang, Mohd. Noor Rejab kekal dipenjara selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini sebulat suara menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan salah atas kesalahan membabitkan rasuah.
Bagaimanapun, lelaki berusia 60 tahun itu dikira bernasib baik ekoran panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah meminda hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan terhadapnya sebelum ini kepada penjara 15 bulan.
Hukuman penjara tersebut diperintahkan berkuat kuasa hari ini.
Sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, Mohd. Noor dilihat berpelukan dengan seorang wanita dipercayai anaknya dan cuba menenangkan ahli keluarga itu.
Terdahulu, Hakim Kamaludin ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, dapatan yang dibuat oleh mahkamah-mahkamah sebelum ini merupakan dapatan berdasarkan fakta dan tiada sebarang alasan yang ditemukan bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mengganggu keputusan terdahulu.
“Kami telah melihat penghakiman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi dan kami dapati kedua-dua mahkamah membuat dapatan yang konsisten.
“Selepas meneliti segala hujahan, penghakiman daripada rekod rayuan dan nota keterangan, kami mendapati tiada sebarang alasan untuk mengganggu dapatan mahkamah terdahulu. Dapatan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan kita tidak boleh ganggu fakta tanpa alasan. Kami minta maaf Encik Mohd. Noor tetapi kami tidak boleh buat apa-apa,”katanya.
Pada 18 Mei 2018, Mahkamah Sesyen Georgetown telah disabitkan Mohd. Noor atas kesalahan menggunakan jawatannya sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Pulau Pinang bagi mendapatkan suapan dengan memperakukan baucer bayaran bagi pembekalan kot makmal untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise, yang turut mempunyai kepentingan terhadap dirinya.
Pada 11 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen.
Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang lebih tinggi.
Pada tarikh sama, mahkamah itu turut mensabitkan Mohd. Noor atas kesalahan setuju terima wang berjumlah RM24,656 melalui cek Maybank daripada Syed Mohamed Mohamed Farook yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan dirinya pada 24 Oktober 2013 di Maybank Cawangan Jalan Penang Road.
Bagi kesalahan ini, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Berhubung hukuman penjara, panel terbabit memutuskan untuk meminda hukuman tersebut selepas mengambil kira beberapa faktor terutamanya usia perayu (Mohd. Noor).
“Selepas meneliti hujah peguam, kami memutuskan untuk meminta hukuman yang dijatuhkan berdasarkan beberapa faktor terutamanya usia perayu sekarang. Bagi pertuduhan pertama, hukuman penjara tiga tahun ditukar kepada 15 bulan manakala bagi pertuduhan kedua, hukuman penjara satu tahun dipinda kepada enam bulan.
“Hukuman penjara diperintahkan berjalan secara serentak dan berkuat kuasa hari ini,”katanya.
Mohd. Noor sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM130,812.50 bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, lelaki terbabit dikenakan hukuman penjara setahun. Hukuman tersebut diperintahkan berjalan serentak.
Bekas penjawat awam itu telah membayar denda tersebut. –UTUSAN ONLINE










