ALOR SETAR: Rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand setelah pas sempadan mereka tamat tempoh dua tahun lalu mempertikaikan kenyataan Kementerian Luar yang memaklumkan jumlah yang terlibat adalah jauh lebih kecil.
Sumber Utusan Malaysia mendakwa, kenyataan kementerian itu bercanggah dengan laporan Imigresen Thailand sebelum ini yang menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di negara jiran itu mencecah 15,000 orang.
Menurutnya, angka tersebut dikeluarkan Imigresen Thailand selepas pendaftaran rakyat Malaysia yang memegang pasport antarabangsa dan pas sempadan yang masih tinggal di seluruh negara itu pada Julai 2020.
Bagaimanapun, kata sumber itu, kebanyakan rakyat Malaysia yang berkeluarga dan bekerja di sempadan Thailand memasuki negara itu menggunakan pas sempadan.
“Saya mempertikaikan kenyataan Kementerian Luar yang memaklum angka rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand kecil kerana berlainan dengan laporan oleh Imigresen negara tersebut sebelum ini.
“Daripada 15,000 rakyat Malaysia yang mendaftar dengan Jabatan Imigresen Thailand itu, saya tidak menolak kemungkinan jumlah rakyat yang memohon untuk pulang ke Malaysia pula tidak ramai dan mereka yang terlibat tidak mempunyai keluarga di negara jiran tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terkandas
Semalam, Kementerian Luar memaklumkan dakwaan kononnya terdapat lebih 10,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand sejak dua tahun lalu adalah tidak tepat.
Menerusi kenyataan tersebut, Wisma Putra melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla yakin jumlah sebenar yang berada secara tidak sah atau melebihi masa adalah jauh lebih kecil.
Sementara itu, akhbar tempatan di Malaysia pada 3 April 2021 melaporkan, Duta Besar Malaysia di Thailand, Datuk Jojie Samuel memberitahu, terdapat kira-kira 8,000 hingga 10,000 rakyat Malaysia yang bermastautin di Thailand.
Jojie memberitahu, seramai 1,200 rakyat Malaysia yang bermastautin di negara itu mendaftar dengan kedutaan ketika membantu pihak berkuasa Thailand untuk mengumpul data mengenai warga asing yang memerlukan vaksin Covid-19 di negara berkenaan.
Utusan Malaysia pada 6 April lalu melaporkan lebih 10,000 rakyat negara ini terperangkap di Thailand dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana pas sempadan mereka telah tamat tempoh.
Masalah berlaku kerana mereka memasuki negara jiran itu sebelum pelaksanaan PKP pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air disebabkan pintu sempadan ditutup.
Malah kegagalan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Wilayah Songkhla membantu memperbaharui pas sempadan menyebabkan hasrat mereka untuk pulang ke tanah air terbantut walaupun pintu sempadan dibuka seminggu lalu.
Dalam pada, sumber itu memberitahu, kebanyakan rakyat Malaysia yang terkandas itu tidak mengetahui mereka boleh hadir di pejabat konsulat bermula semalam bagi membolehkan pihak konsulat memberikan bantuan perkhidmatan konsular.
Seterusnya, sumber itu meminta, kerajaan terutama Kementerian Luar segera membantu kumpulan yang terkandas itu tanpa mengira jumlahnya yang tepat bagi membolehkan mereka kembali semula ke negara ini.- UTUSAN










