Azmin berjaya batal saman pengundi Gombak - Utusan Malaysia

Azmin berjaya batal saman pengundi Gombak

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berjaya membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Ia selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan di sini yang diketuai Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara membenarkan rayuannya.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Yaacob menyatakan tuntutan 10 pengundi Gombak itu tidak boleh dipertahankan dan pasti akan gagal.

“Kami mendapati terdapat kekhilafan yang boleh dirayu apabila Hakim Mahkamah Tinggi terdahulu tidak membenarkan permohonan untuk membatalkan saman itu sebelum ini.

“Kami juga dapati tuntutan responden (pengundi-pengundi Gombak) tidak boleh dipertahankan. Tuntutan responden bakal gagal dan tiada keperluan untuk perbicaraan penuh diadakan,” katanya.

Tiada sebarang perintah dibuat berhubung kos memandangkan kes tersebut merupakan kes membabitkan kepentingan awam.

Pada 10 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Mohamed Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi itu terhadapnya atas alasan terdapat isu yang perlu dibicarakan.

Pada hari yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir juga menolak menolak permohonan pengundi berkenaan untuk memadamkan sebahagian pernyataan pembelaan Mohamed Azmin.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lepas.

Menurut pernyataan tuntutan 10 pengundi Gombak yang berusia antara 37 hingga 65 tahun itu, Mohamed Azmin selaku defendan telah membuat pelbagai janji termasuk menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di bawah tiket parti PKR untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pegawai-pegawai awam yang korup.

Defendan pada pilihan raya itu memenangi Parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh kerajaan PH.

Bagaimanapun pada 23 Februari 2020, defendan didakwa menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH berpecah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Langkah itu juga turut menyebabkan gabungan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa janji-janji dibuat Mohamed Azmin adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatkan undi serta tidak berusaha untuk memenuhinya.

Oleh itu, kesemua plaintif memohon satu deklarasi bahawa Mohamed Azmin mempunyai tugas fidusiari dan pemegang amanah para pengundi di kawasan parlimennya dan beliau telah mengingkari, menipu dan memungkiri undi dan sumpah yang dibuat.

Selain itu, plaintif memohon ganti rugi keterlaluan, kos atas dasar asas tanggung rugi (indemnity) dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya