KUALA PILAH: Juadah berbuka puasa tidak lengkap jika tidak disertakan dengan hidangan kuih muih sebagai pencuci mulut.
Peniaga apam gebu daun pisang di Kampung Ulu Melang di sini, Norazlina Abuhnoh, 54, berkata, jualan kuih dengan resipi arwah ibunya terus mendapat sambutan menggalakkan ketika ini.
“Saya menjualnya secara sejuk beku dan setiap hari saya membuat 250 biji kuih apam gebu bagi memenuhi permintaan pelanggan. Alhamdulillah, saya mampu menjual 50 hingga 100 peket sehari.
“Ramai yang mencari kuih ini untuk dijadikan juadah sewaktu berbuka selain sudah tiada orang yang membuat apam di kampung ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Norazlina berkata, kuih apam gebu daun pisang yang dihasilnya berbeza dengan apam Johol yang popular di Negeri Sembilan.
“Apam gebu daun pisang ini berbeza kerana apam Johol menggunakan daun Rambai. Rasanya juga berbeza tetapi bagi saya apam gebu ini lebih sedap dan manis.
“Bagi setiap adunan diuli, saya hanya menggunakan yis, tepung, gula dan gula merah. Tepung yang digunakan juga bergantung kepada jenama bagi menghasilkan rasa yang tepat,” katanya.
Selain menjual kuih apam gebu daun pisang, dia juga menjual pelbagai jenis kuih sejuk beku seperti cucur badak, ketupat palas, koci dan karipap.- UTUSAN










