PETALING JAYA: Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mempersoalkan mengapa Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda sama sepertimana pindaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 yang dijangka dibentangkan, Isnin ini.
Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan itu berkaitan kehilangan kelayakan seseorang ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding semula dalam tempoh lima tahun selepas meletak jawatan.
Beliau berkata, pindaan yang bakal dibuat membabitkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tanpa Undang-undang Anti Lompat Parti yang ditakrifkan dengan terperinci boleh menjadikan perkara itu terlalu luas dan berbahaya.
“Undang-undang tersebut kemudian boleh dicabar atas alasan Perlembagaan. Mengapa tidak juga meminda Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan pada hari Isnin untuk mengelakkan potensi krisis Perlembagaan pada masa hadapan?” katanya dalam hantaran di Twitter, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Sidang Khas Parlimen, Isnin ini.
Ini penangguhan kali kedua selepas pertama kali dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu.
Bagaimanapun, sidang khas Dewan Rakyat itu akan diteruskan dengan pembentangan dan pembahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi memudahkan RUU Anti Lompat dibentangkan kelak.
Pindaan itu dipercayai membabitkan penggubalan punca kuasa bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan RUU berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen. – UTUSAN