Anggota polis wanita, kekasih didakwa miliki 2.5 liter air ketum

Anggota polis wanita, kekasih didakwa miliki 2.5 liter air ketum

ANGGOTA polis wanita (berbaju kelabu) bersama teman lelaki dan tiga rakan mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini kerana memiliki air ketum 2.5 liter, Khamis lalu. - FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang anggota polis wanita bersama teman lelaki dan tiga rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki air ketum sebanyak 2.5 liter di sebuah rumah, Khamis lalu.

Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, yang berpangkat Lans Koperal bersama Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23; Bidah Napi, 30; Anis Najiehah Muhammad Anggelan, 27 dan Wan Muhammad Alif Wan Yusoff, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Che Ani.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka berempat didakwa bersama-sama memiliki cecair racun mitragynine iaitu ketum sebanyak 1.5 liter di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh-Kubang Kerian, di sini kira-kira pukul 3.25 pagi pada 7 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki 1 liter lagi cecair racun sama di lokasi dan waktu yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh empat tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

Terdahulu, Nursyafiqah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap kesemua tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Intan Nor Nadhirah memohon jaminan rendah dikenakan kepada tertuduh terutamanya terhadap Raja Rozalia Fadila yang merupakan ibu tunggal dua orang anak dengan pendapatan RM1,300 sebulan.

Menurutnya, empat lagi tertuduh pula bekerja sebagai peniaga dalam talian dan peniaga kosmetik dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 13 Jun depan sebutan semula kes. Kesemua tertuduh membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya