KUALA LUMPUR : Keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menggubal Akta Anti Lompat Parti perlu sama rata membabitkan kerajaan, pembangkang dan ahli Parlimen bebas.
Gesaan itu dibuat Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) dengan berkata, pendekatan sedemikian adalah perlu bagi memastikan setiap hala tuju jawatan kuasa ke arah penggubalan akta bagi mengekang amalan lompat parti mewakili semua pihak.
“Saya tidak ingin perkara sama yang berlaku pada 2012 mengenai reformasi pilihan raya berulang apabila lima wakil kerajaan diputuskan menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen manakala tiga lagi daripada pembangkang dan seorang Bebas.
“Biarlah ia sama rata, selain usahlah kita terikat dengan ‘Hobson choice’ (penawaran pilihan tunggal untuk diputuskan bersama), tiada pilihan pun, hanya diputuskan oleh kerajaan.
“Saya juga harap memandangkan Pengerang (Datuk Seri Azalina Othman Said) sudah menyiapkan sebuah Rang Undang-Undang (RUU) untuk diambil kira, kita kena pastikan akta anti lompat parti juga melihat kepada cadangan Bersih,” katanya pada Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN