AirAsia mulakan semula penerbangan Singapura-Langkawi - Utusan Malaysia

AirAsia mulakan semula penerbangan Singapura-Langkawi

BURSA Securities memberi tempoh lanjutan sehingga 17 Januari 2024 untuk AirAsia X Berhad serahkan pelan penyusunan semula syarikat itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia akan memulakan semula penerbangan terus dari Singapura ke pulau peranginan ini bermula pada 29 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pelancong-pelancong antarabangsa telah mula masuk ke pulau ini sejak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.

“Cuma kita belum dapat data yang lengkap lagi kerana sebahagian besarnya masuk melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

“Namun antara perkembangan positif lain adalah AirAsia akan menyambung semula penerbangan terus dari Singapura ke Langkawi bermula pada 29 April ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Ramadhan 2022 (Siri 1) di Masjid Al-Aman, Kampung Yooi di sini malam semalam.

NASARUDDIN Abdul Muttalib (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Program Jelajah Ramadhan 2022 (Siri 1) di Masjid Al-Aman, Kampung Yooi, Langkawi, malam semalam. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN

Nasaruddin menyatakan, penerbangan terus itu akan dilakukan dengan kekerapan sebanyak empat kali seminggu.

“LADA juga mendapat maklumat daripada AirAsia bahawa sebanyak 180 tiket bagi penerbangan tersebut telah habis ditempah,” jelasnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Langkawi menerima ketibaan satu penerbangan terus yang membawa pelancong asing dari Singapura sempena pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.

Penerbangan melalui syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot itu dijangka masuk ke Langkawi dengan kekerapan sebanyak empat kali seminggu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN