PETALING JAYA: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sekali lagi diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila merangkul anugerah Institusi Mikrokredit (Islamik) Terbaik bagi tahun 2020 dan tahun lepas.
AIM dalam satu kenyataan memaklumkan, anugerah tersebut kali ketujuh dan kelapan diterima institusi itu selepas menerimanya bagi tahun 2013, 2014, 2015, 2016, 2018, dan 2019.
“AIM adalah institusi yang memberi tumpuan khusus kepada pinjaman mikro untuk golongan B40 dan B50 dengan pencapaian cemerlang kadar bayar balik pinjaman melebihi 99 peratus.
“Anugerah ini adalah anugerah paling berprestij diiktiraf dalam pasaran modal Islam di peringkat global.
“Ia juga secara tidak langsung membuktikan impak luar biasa manfaat dari konsep syariah yang diguna pakai oleh institusi-institusi ternama dalam pelbagai sektor di seluruh dunia,” kata kenyataan itu.
Pengiktirafan itu dibuat dalam majlis penyampaian Anugerah Islamic Finance News (IFN) di Hotel Equatorial Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Selain AIM, turut menerima anugerah ialah CIMB Investment Bank bagi kategori Bank Pelaburan Islam Terbaik; SME Bank bagi kategori SRI & ESG; Maybank Investment bagi katerigori Pelaburan Hartanah) dan Bursa Malaysia bagi kategori Penyenaraian Bursa Saham Terbaik (Islamik). – UTUSAN