KUALA LUMPUR: Orang ramai dijangka bergerak pulang balik kampung halaman bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri mulai 30 April ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, bagi menghadapi suasana itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia dan akan mempertingkatkan pemantauan terhadap pergerakan kenderaan di lalu lintas dan juga pematuhan prosedur operasi standard oleh pengguna jalan dan juga lebuh raya kali ini.
Katanya, daripada 26,000 kekuatan pegawai dan anggota KDNKA yang ada, hanya 10 peratus dibenarkan untuk bercuti pada perayaan kali ini maka selebihnya akan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim perayaan kali ini.
“Kami dibenarkan bercuti 10 peratus sahaja sempena sambutan Aidilfitri dengan kekuatan yang ada dan yang lain itu dikehendaki bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku semasa musim perayaan nanti.
“Semasa musim perayaan nanti, bermula 30 April hingga 4 Mei 2022 saya jangkakan waktu itu akan berlaku pergerakan (balik kampung) besar-besaran berlaku di seluruh negara sebab orang nak balik kampung sempena perayaan dan sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini pagi ini.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Komander Briged Tengah PGA, Komander Unit Tindakan Khas, Pengerusi Perkep Briged Tengah PGA dan Pengerusi Perkep Unit Tindakkhas dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di PGA Cheras.
Hadir sama, Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan), Komisioner Datuk Kasuahdi Ali dan Tiimbalan Pengarah KDNKA (PGA), Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim dan Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit.
Mengulas lebih lanjut, Hazani berkata, pihaknya akan memperhebatkan dan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang lebuh raya khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) yang kerap menjadi lokasi tumpuan pengguna sehingga membawa kesesakan.
Katanya, pihaknya akan menggerakkan pasukannya untuk memantau keadaan dan juga memastikan pengguna lebuh raya mematuhi SOP fasa endemik yang ditetapkan tanpa ada kes pelanggaran peraturan.
“Kita akan bertolak ansur dengan mereka menasihat dan memberi peringatan sebagainya jika tidak dengar nasihat barulah kita akan keluarkan kompaun ingkar SOP dan sebagainya.
“Sepanjang endemik yang bermula 1 April lalu cuma pada 9 April lalu sebanyak 183 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar SOP, tetapi keseluruhannya kes kesalahan tak banyak berlaku kerana rakyat kita majoritinya sedar dan memahami keadaan semasa Covid-19 serta patuh SOP,” tegasnya. – UTUSAN