PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan isu kebajikan dan perlindungan kanak-kanak menjadi agenda besar UMNO, susulan nasib malang yang menimpa Bella, 13 tahun.
Katanya, ini kerana kes Bella itu mendedahkan masalah struktural yang serius dalam aspek perlindungan kepentingan hak kanak-kanak di Malaysia dan sesuatu yang radikal serta berkesan perlu segera dilaksanakan untuk mengelakkannya dari menjadi semakin membarah.
Katanya, kejadian pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang dialami adik Bella itu bukanlah sesuatu yang baru, tetapi banyak insiden yang sama berlaku di pusat jagaan kanak-kanak seperti remaja itu sehinggakan ada kes yang kezalimannya tak terjangkau dek akal.
“Saya akui, sebagai seorang ayah kepada lima orang anak, penderitaan yang dialami adik Bella benar-benar meruntun hati dan saya sangat berharap beliau mendapat pembelaan serta keadilan yang sebaik-baiknya.
“Tetapi bukanlah tempatnya untuk saya bercakap berkenaan kes ini dan adalah lebih baik untuk terus yakin dengan kebijaksanaan institusi kehakiman dalam memberi keadilan yang sewajarnya.
“Bagaimanapun, mahu tunggu sampai bila baru kita mengambil isu kebajikan dan perlindungan kanak-kanak ini dengan lebih serius? Sampai bila lagi kita nak terus melukakan hati kita melihat kejadian-kejadian sebegini berlaku baru nak fikirkan tindakan yang lebih drastik dan radikal?
“Soalan ini saya tujukan bukan terhadap kerajaan semata-mata, tetapi seluruh pihak yang bertanggungjawab dalam pembentukan polisi dan dasar negara. Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya akan melakukan apa-apa sahaja yang terdaya saya untuk memastikan perkara ini tidak berulang. Sebagai Presiden Parti terbesar di Malaysia yang menunjangi kerajaan, saya akan pastikan ini dijadikan agenda besar Parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga menyeru kerajaan menyelesaikan isu operator pusat jagaan kanak-kanak beroperasi tanpa lesen yang masih belum ada penyelesaian sehinggakan ia semakin berleluasa.
Katanya, berdasarkan kajian dilakukan aktivis kanak-kanak termasuk dasar yang digubal dalam Akta Kanak-kanak 2001, aspek pengawasan dan penguatkuasaan amat penting bagi melindungi golongan itu.
“Segala keperitan dan penderitaan Adik Bella telah membuka mata seluruh rakyat dan ini tidak boleh diabaikan lagi. Kita semua mahu Adik Bella terbela, tetapi tidak sedar bahawa mungkin terdapat 1000 Adik Bella di luar sana yang perlu pembelaan.
“Isu adik Bella menunjukkan ada manusia semakin mati rasa, dari segi kesedaran, tindakan dan tanggungjawab. Jika kita tidak mengambil usaha yang lebih serius untuk mendepani isu ini, maka kita yang sebenarnya telah menggagalkan anak-anak dan masa depan negara kita,” jelasnya. – UTUSAN