PUTRAJAYA: Kira-kira 3,500 bekas bubur lambuk yang dimasak di dalam tujuh periuk diagihkan kepada warga kerja Perbendaharaan Malaysia di sini menerusi Program Syukur Itu Indah anjuran syarikat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd.
Gotong-royong memasak bubur lambuk itu bermula pukul 9 pagi bersekali dengan Program ‘Kita Kasih’ Ramadan anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Koperasi Warga Perakaunan Sektor Awam Berhad (KO-AKAUN).
Program berkenaan mendapat kerjasama Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Jabatan Akauntan Negara dan Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia Jabatan Akauntan Negara (Puspanita JANM).
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ini kali pertama pihaknya melaksanakan program dengan Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd bagi acara memasak dan mengagihkan bubur lambuk.
“Angkasa menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta yang mesra koperasi. Seperti hari ini dengan syarikat Adabi.
“Sebenarnya Adabi merupakan syarikat yang menjadi pembekal untuk program Barang Asas 100 (BA100) diuruskan Angkasa menerusi platform digital JiMAT SHOP dan JiMAT BIZ,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hadir sama, Akauntan Negara, Datuk Dr. Yacob Mustafa dan Pengerusi Puspanita JANM, Datin Rugayah Mohd. Zin selain pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad. –UTUSAN