Abang, adik dicekup edar syabu, pil kuda - Utusan Malaysia

Abang, adik dicekup edar syabu, pil kuda

ZAIZUL Rizal Zakaria menunjukkan syabu yang dirampas di hadapan sebuah resort di Tok Bali, Pasir Puteh, semalam. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Dua pemuda yang juga adik-beradik dicekup bersama sejumlah syabu dan pil kuda bernilai RM20,000 semasa sedang menunggu pelanggan di depan sebuah resort di Tok Bali, di sini semalam.

Suspek, masing-masing berusia 27 dan 17 tahun berasal dari Terengganu ditahan kira-kita pukul 9.50 malam ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, semasa serbuan, dua beradik itu enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan dinaiki mereka menemukan 11 paket kecil mengandungi 589 gram dadah jenis syabu dan 25 biji pil kuda seberat 3.2 gram di tempat duduk belakang.

“Siasatan mendapati, bungkusan itu akan diserahkan kepada pelanggan dan mereka menjadikan kawasan pusat peranginan untuk mengedar dadah kerana menganggap ia lokasi selamat. Berdasarkan semakan, si abang mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkait kes dadah manakala adiknya tidak bersekolah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini hari ini.

Menurut Zaizul Rizal, polis masih menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperoleh dan bagaimana strategi pengedaran dijalankan dua beradik berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN