‘Abah berubahlah kau’

‘Abah berubahlah kau’

MALIK (kiri) bersama dua lagi klien Puspen Kimanis, Papar bertadarus al-Quran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: ‘Abah berubahlah kau’, teguran itu membuatkan Malik, 42, nekad untuk berubah dan tidak lagi ingin terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Ayah kepada empat anak yang ingin dikenali sebagai Malik itu berkata, teguran daripada anak sulungnya membuatkan hatinya terdetik untuk benar-benar berubah.

“Semasa anak lelaki saya memberi teguran itu pada hari pertama saya di sini, terlintas dalam fikiran saya ‘Ya Allah’ anak yang menegur saya untuk berubah. Sekali sahaja dia cakap begitu, saya betul-betul ingin berubah.

MALIK

“Saya cakap dengan anak saya, insya-Allah Abah tidak janji, Abah tidak berubah kerana keluarga Abah, biarlah berubah kerana Allah SWT. Itu niat dalam hati saya.

“Itu sebabnya sepanjang berada di sini sejak Mac tahun lalu, saya sudah khatam al-Quran sebanyak 11 kali. Saya banyak mendekatkan diri dengan Tuhan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Papar, semalam.

Bercerita lanjut katanya, ini merupakan Ramadan kedua beliau berada di pusat pemulihan ini dan sudah lebih setahun beliau tidak berjumpa isteri dan anak-anak kerana mereka berada di Tawau.

Malik berkata, beliau dimasukkan ke sini kerana ingin menjalani pemulihan jadi, kalau boleh biarlah isteri dan anak-anak tidak melihat keadaan saya di sini.

Menurutnya, biarpun isteri dan anak-anak tidak dapat melawatnya namun, ibu dan adik-beradik lain ada juga datang melawat jadi, beliau masih menerima sokongan yang baik daripada anggota keluarga.

“Menjelang Ramadan, saya amat rindukan suasana berbuka puasa dan bersahur bersama isteri serta anak-anak di rumah. Kerinduan kepada keluarga itu semakin menebal apabila memasuki bulan Ramadan.

“Ayah mana yang tidak rindukan anak-anak. Itu sebabnya saya menyimpan hasrat ingin berubah supaya saya boleh menjadi seorang ayak yang baik kepada anak-anak. Saya ingin melihat anak-anak saya mempunyai masa depan yang cerah.

“Saya amat memerlukan sokongan isteri dan anak-anak kerana mereka tonggak harapan saya untuk berubah. Walaupun saya sudah separuh lanjut usia namun, jika ada peluang lagi, saya ingin menjalani kehidupan yang lebih baik dengan mereka,” katanya.

Menurut Malik, beliau mula terjebak dengan penagihan dadah ketika berusia 20 tahun sebelum menjadi penjawat awam. Namun, beliau berhenti bekerja sebagai penjawat awam pada 2018 bagi memulakan perniagaan sendiri.

Pada mulanya, beliau mencuba atas dasar ingin tahu namun, lama-kelamaan beliau mula ketagih sehingga tahap perlu mengambil dadah jenis syabu setiap hari.

Jelas beliau, apabila dibebaskan kelak, beliau mahu memulakan semula kerjayanya dan membina semula hubungan yang baik dengan anggota keluarga. Semasa mengambil dadah, hubungan kekeluargaan itu menjadi renggang maka, beliau berharap keluarga sudi menerimanya semula.

Jauh di sudut hatinya, beliau berharap anak-anak tidak akan mewarisi perangainya yang tersilap langkah dan terjebak dengan penagihan dadah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN