Bagi wanita Cina Peranakan, dapur bukan sekadar ruang untuk memasak, sebaliknya medan awal pembentukan jati diri dan nilai kehidupan.
Di situlah anak-anak perempuan diasuh dengan ketekunan, dilatih sabar dan dididik menghormati tradisi keluarga yang diwarisi turun-temurun
Dalam budaya Baba dan Nyonya, seorang gadis hanya dianggap layak bergelar isteri apabila cekap menyediakan masakan warisan.
Bukan sekadar sedap, bahkan penuh seni, daripada cara menghiris bawang hingga ke susunan hidangan di pinggan.
Menurut Jennifer Lee Choo Neo, 58, pengalaman membesar dalam keluarga Baba dan Nyonya banyak membentuk disiplinnya, baik dalam penyediaan makanan mahupun kehidupan seharian.
Katanya, setiap arahan yang diturunkan ibu bukan sekadar petua memasak, tetapi lambang kasih sayan, tanggungjawab dan identiti wanita Peranakan.
“Bawang, serai atau cili wajib dihiris halus dan sekata. Kalau potongan tidak betul, emak mula membebel dan kadang-kadang, cubitan singgah di lengan.
“Tapi itulah yang mengajar saya makna teliti dan sabar,” katanya ketika ditemui dalam acara Warisan Baba Nyonya baru-baru ini.
Dia yang juga Ahli jawatankuasa Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur & Selangor (PPBNKLS) berkata, potongan halus dan sekata dipercayai dapat memberikan keseimbangan rasa dalam masakan.
Falsafah itu masih dipegang teguh oleh masyarakat Baba dan Nyonya hingga kini.
Selain dihiris teliti, rempah-ratus pula digiling atau ditumbuk agar lebih mesra lidah dan sebati dalam hidangan.

Warisi resipi popia Melaka
Antara resipi yang paling dekat dihatinya ialah popia Melaka, iaitu hidangan istimewa yang diajar ibu sejak kanak-kanak.
Walaupun nampak ringkas, penyediaannya menuntut kesabaran tinggi, bermula daripada membancuh kulit popia hinggalah untuk kepada menggulungnya dengan rapi.
Katanya, hidangan tradisi itu berbeza dengan popia basah kerana menggunakan campuran tepung gandum dan ubi, sekali gus menjadikan teksturnya lembut seperti lempeng, tetapi tidak mudah koyak,
Bahan-bahan yang diperlukan untuk penyediaan kulit ialah 150 gram tepung gandum, 50 gram tepung ubi, sebiji telur, 150 liter air suam, minyak dan garam.
“Rehatkan adunan selama 30 minit hingga sejam dan kemudian tapis sebelum dituangkan ke atas kuali panas supaya hasilnya licin,” katanya.

Jennifer turut berkongsi yang ibunya juga mahir dalam pembuatan kuih-muih Peranakan Melaka yang lain seperti koci dan apam berkuah.
Manakala abangnya pula mengusahakan kedai popia di negeri kelahiran mereka.
Kini, dia meneruskan warisan itu dengan mengajar masyarakat agar tidak melupakan khazanah dapur Baba dan Nyonya.
“Popia Melaka asli semakin sukar ditemui. Dahulu, ia menjadi pelengkap dalam majlis keraian dan waktu minum petang.
“Namun, hidangan ini tidak akan disediakan dalam upacara kematian kerana ia membawa simbolik kegembiraan dan perayaan,” ujarnya yang fasih berbahasa Melayu.










