95 peratus siap, pintasan KT tidak sempat digunakan pada Aidilfitri

95 peratus siap, pintasan KT tidak sempat digunakan pada Aidilfitri

JALAN pintasan Kuala Terengganu di Durian Burung yang sebelum ini dijamin dapat disiapkan lima bulan lebih awal bagaimanapun tidak sempat digunakan pada Hari Raya Aidilfitri ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jalan pintasan Kuala Terengganu sejauh 5.875 kilometer dari Tok Molor ke Kampung Durian Burung di sini, tidak sempat digunakan pada Hari Raya Aidilfitri ini susulan kerja-kerja kemasan yang belum siap.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, kemajuan projek jalan baharu empat lorong bernilai RM220 juta itu kini mencapai 95 peratus.

Katanya, sebelum kontraktor memberi jaminan yang projek berkenaan boleh disiapkan lima bulan lebih awal berbanding jadual asal pada September ini.

“Di sebalik masalah-masalah yang timbul, mereka tetap cuba mempercepat kerja-kerja pembinaan supaya kemudahan ini dapat digunakan orang ramai.

“Walaupun jalan pintasan Kuala Terengganu tidak sempat disiapkan sebelum Aidilfitri, namun kontraktor terlibat berusaha mengatur agar pergerakan trafik terutama di laluan Tok Molor lancar pada musim perayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Januari lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan jalan pintasan Kuala Terengganu itu akan dibuka pada April ini sekali gus meredakan masalah kesesakan di pusat bandar yang lazimnya berlaku pada Hari Raya Aidilfitri.

Fadillah berkata, pembukaan lebih awal berbanding jadual asal itu susulan jaminan yang diberikan kontraktor terlibat.

Projek jalan alternatif yang dimulakan sejak 2016 itu memakan masa lima tahun untuk disiapkan berikutan isu-isu teknikal termasuk pengambilan tanah di samping hal-hal berkaitan reka bentuk yang memerlukan penambahbaikan.

Jalan pintasan Kuala Terengganu dapat menjimatkan jarak dan masa perjalanan pengguna dari arah Kuantan, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan atau sebaliknya sehingga 30 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN