SERAMAI 88 pemain menyertai kejohanan golf merebut Trofi GD (Golfers Dock) 2022 yang berlangsung di Kelab Golf Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Kejohanan edisi kedua itu berlangsung penuh meriah dengan penyertaan pemain-pemain golf amatur daripada Kuala Lumpur, Selangor dan luar Lembah Klang dan selepas ia negara memasuki fasa endemik bermula 1 April lalu.

Penganjur kejohanan dan pemilik Golfers Dock, Rasshi Mahmud berkata, kejohanan tahunan itu akan terus diadakan pada tahun-tahun akan datang sebagai menghargai pemain-pemain golf terutamanya pelanggan Golfers Dock.
“Terima kasih kepada semua pemain yang menyertai pertandingan edisi kedua ini selepas tiga tahun kita tiada kejohanan akibat pandemik Covid-19. Edisi pertama kita adakan di The Mines Golf Resort sebelum PKP.
“Insya-Allah tahun hadapan kita akan anjurkan kejohanan edisi ketiga dengan hadiah-hadiah lebih menarik,” katanya.
Golfers Dock adalah sebuah premis menjual serta membaiki peralatan golf yang terletak di Taman Dagang, Ampang.
Dalam kejohanan itu, Trofi GD (Golfers Dock) 2022 dimenangi oleh Amir Beno yang muncul juara Gross skor 70, manakala Medal A milik Datuk Dr. Razman Jarmain (39 mata) dan Medal B dirangkul oleh Mohd. Rozi Dollah (38 mata). – UTUSAN










