PETALING JAYA: Seramai 75 pengunjung dan pengurus pusat hiburan dikompaun RM1,000 setiap orang selepas beroperasi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa peralihan ke endemik dalam serbuan di Jalan Sultan Ismail dekat sini, awal pagi ini.
Serbuan kira-kira pukul 1.15 pagi itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, ketika serbuan, terdapat 50 lelaki dan 26 wanita berusia lingkungan 20 tahun hingga 51 tahun diperiksa.
“Kesemua mereka dikompaun RM1,000 seorang kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal manakala pengurus premis turut dikompuan kerana gagal mengawal SOP pengunjung semasa dalam premis.
“Sebanyak 76 kompaun dengan nilai keseluruhan RM76,000 dikeluarkan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tindakan kompaun diambil Peraturan 18 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN (Fasa Peralihan Endemik) 2022.
Ujar beliau, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 kerana menganjurkan aktiviti hiburan tanpa lesen sah.
“Orang ramai dinasihat mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan polis akan terus meningkatkan operasi dan pemeriksaan terhadap pusat hiburan yang jelas melanggar SOP,” ujarnya. – UTUSAN










