KUBANG PASU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 42,517 liter diesel dan 14,180 liter petrol kerana disimpan di premis tidak dilesenkan di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam dekat sini pada Isnin lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Zalina Aziz berkata, pihaknya percaya diesel dan petrol yang bernilai RM569,000 itu diseleweng dengan dijual kepada kenderaan dari negara jiran.
Menurutnya, ketika serbuan itu dijalankan kira-kira pukul 2 petang, Isnin lalu, sebuah lori treler dengan nombor pendaftaran Thailand turut berada di lokasi berkenaan bagi mengisi minyak.
“Pemilik diesel dan petrol ini sebenarnya merupakan pemborong yang sah dan memiliki lesen untuk berbuat demikian, namun dia didapati menyimpan bahan api itu bukan di lokasi yang dilesenkan. Selain itu, risikan dijalankan pihak kami dalam tempoh empat minggu kebelakangan ini turut mendapati pergerakan lori-lori tangki ke kawasan tersebut. Dipercayai lokasi tersebut baru dibuka kira-kira dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui di Stor KPDNHEP di Tunjang di sini hari ini.
Kesemua diesel tersebut ditemukan di dalam empat tangki skid manakala petrol pula disimpan di dalam tangki bawah tanah.
Menurutnya, susulan serbuan itu, pihaknya menahan tiga individu terdiri daripada pemandu lori treler warga Thailand serta dua penduduk tempatan dipercayai pekerja di premis berkenaan.
“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 20(1), mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula boleh didenda tidak lebih RM2 juta,” tambahnya. – UTUSAN