36 letupan terkawal dijalankan sepanjang operasi cari mangsa runtuhan kuari - Utusan Malaysia

36 letupan terkawal dijalankan sepanjang operasi cari mangsa runtuhan kuari

OPERASI mencari dua mangsa tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Ipoh memasuki hari ke-31, hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 36 letupan dijalankan bagi memecahkan bongkah batu kepada saiz yang lebih kecil sepanjang operasi mencari dua pekerja kuari tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, letupan secara terkawal itu masih dilakukan di lokasi kejadian meskipun operasi mencari mangsa telah memasuki hari ke-31, hari ini.

Katanya, bongkah batu bersaiz besar hingga mencapai berat ratusan tan merupakan faktor melambatkan usaha mencari mangsa yang bermula 8 Mac lalu.

“Halangan besar pasukan penyelamat setakat ini adalah timbunan bongkah batu bersaiz besar yang menutupi kedudukan jengkaut bersama mangsa.

“Secara purata, saiz sebuah bongkah batu ini boleh mencapai berat antara 50 ke 100 tan. Ini merupakan faktor yang melambatkan usaha pasukan penyelamat mencari mangsa sehingga ke hari ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kerja-kerja mencari mangsa masih dijalankan di kawasan jengkaut tertimbus yang dikenal pasti oleh pakar geofizik daripada Universiti Teknologi Petronas.

Bagaimanapun katanya, sama ada kerja-kerja penggalian itu menghampiri mangsa atau sebaliknya belum dapat disahkan ekoran tiada tanda-tanda jengkaut ditemukan setakat ini.

“Kita juga tidak dapat menjangkakan berapa lama masa yang diperlukan dalam operasi ini kerana ia bergantung kepada penemuan atau petunjuk yang kita jumpai sepanjang kerja-kerja penggalian,” katanya.

Tambah beliau, pasukan terdiri daripada anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM) masih ditugaskan di tempat kejadian.

“Pegawai dan anggota akan bertugas dengan kaedah penukaran setiap dua hari. Mereka masih dalam keadaan baik daripada aspek mental dan emosi terutama di bulan Ramadan. Namun kekuatan anggota dikurangkan kerana bertugas bersama dengan pihak polis, pengurusan kuari dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN