3 lelaki didenda RM100 main meriam karbaid, sebar video dalam media sosial

3 lelaki didenda RM100 main meriam karbaid, sebar video dalam media sosial

TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas kesalahan menyalakan meriam karbaid serta merakam dan menularkan perbuatan itu dalam media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki masing-masing didenda RM100 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyalakan meriam karbaid pada 7 April lalu manakala seorang lagi didenda RM100 kerana merakam dan menularkan perbuatan itu dalam media sosial.

Tertuduh, Muhammad Shahrul Izzuan Kamaruzaman, 28, dan Muhammad Nawar Md. Shariff, 28, bersama seorang remaja bawah umur sebelum itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyalakan meriam karbaid yang diletakkan di dalam paip PVC bertujuan menembak mercun ke udara.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Rawa di hadapan Kedai Makan Pokok Nyok di sini, kira-kira pukul 11 malam pada 7 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara sebulan atau denda RM100 atau kedua-duanya.

Tertuduh berusia 17 tahun bagaimanapun dibenarkan diikat jamin oleh ibu bapa atau penjaga sebanyak RM1,000 sementara menunggu laporan akhlak bagi sebutan semula kes pada 26 Mei ini.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh Abd. Rahman Noorudin, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menularkan video cara bermain mercun jenis meriam karbaid di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan hari yang sama.

Abd. Rahman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM100.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali.

Difahamkan, kesemua tertuduh membayar denda berkenaan sejurus selepas prosiding selesai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya