2,000 babi hilang: JPV perlu segera buat laporan polis

2,000 babi hilang: JPV perlu segera buat laporan polis

AMIRUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan digesa segera membuat laporan polis susulan insiden sebanyak 2,000 ekor babi di 19 buah ladang haram di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson yang hilang dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, laporan polis tersebut juga perlu dibuat berhubung dakwaan terbaharu bahawa masih terdapatnya aktiviti penyembelihan babi dijalankan di ladang-ladang tidak berlesen di kawasan itu yang terletak berhampiran dengan sebuah ladang ternakan yang dijangkiti wabak Demam Babi Afrika (ASF).

“Saya akan minta supaya laporan polis dibuat, saya harap JPV ambil tindakan segera, kena bertegas dan kawal masalah ini. Kita sedia maklum bahawa kawasan itu adalah kawasan tidak dibenarkan untuk sebarang aktiviti penyembelihan dan penternakan babi, jadi kena pastikan itu kena dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Aidilfitri Kepada Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan Anggota Perkhidmatan Persekutuan Yang Berkhidmat di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid baru-baru ini berkata, pihaknyabelum menerima apa-apa laporan dari mana-mana pihak berhubung insiden susulan insiden sebanyak 2,000 ekor babi di 19 buah ladang haram yang hilang tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan membantu daripada segi siasatan sekiranya diperlukan dan terdapat laporan mengenainya.

Semalam media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir yang berkata, masih ada aktiviti penyembelihan babi dijalankan di ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson.

Perkara itu hasil lawatan secara mengejut yang dilakukan ke lokasi berkenaan pada tiga hari lepas dan mendapati ada berlaku aktiviti penyembelihan babi di ladang tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN