20 peratus daripada 14,600 koperasi ‘hidup segan mati tak mahu’ - Utusan Malaysia

20 peratus daripada 14,600 koperasi ‘hidup segan mati tak mahu’

PAPAN tanda promosi dan hebahan Sambutan 100 Tahun Koperasi di Kilometer A3.6 Lebuhraya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. - UTUSAN/SITI ‘AISYAH SUKAIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan supaya koperasi di negara ini terlibat dalam pelbagai bidang ekonomi sekali gus memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pada masa ini, sebanyak 14,600 koperasi di seluruh negara dan dianggarkan 20 peratus daripadanya dilaporkan tidak aktif atau disifatkan ‘hidup segan mati tak mahu’.

Katanya, sehubungan itu, pihak kementerian menyusun pelbagai program untuk menggalakkan penglibatan koperasi di negara ini dalam pelbagai bidang ekonomi.

“Kita lihat badan koperasi contohnya bank, yang popular ialah Bank Rakyat dan satu lagi Co-opbank Pertama dengan sekarang ini ada 23 cawangan. Insya-Allah satu hari nanti bank wanita akan ditubuhkan di bawah koperasi.

“Selain itu, kita lihat ada koperasi besar yang sudah ada pun hotel sendiri serta pelbagai bidang perniagaan industri yang pelbagai. Mungkin ada koperasi telah menjadi pusat pengedaran barang,” katanya pada pelancaran papan tanda (gantry billboard) promosi dan hebahan Sambutan 100 Tahun Koperasi di Kilometer A3.6 Lebuhraya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) arah KLIA ke Kuala Lumpur di sini hari ini.

Selain di Lebuhraya KLIA, turut akan dipasang dan dinaikkan lebih 55 papan tanda (billboard) dan digital di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, sekitar Lembah Klang serta tempat tumpuan awam seperti di KL Sentral dan Putra LRT.

Dalam pada itu, Noh berkata, dengan sambutan 100 tahun koperasi menjelang Julai ini, pihaknya berharap koperasi di negara ini dilihat sebagai sebuah agensi atau sekurang-kurangnya sama taraf dengan sektor korporat.

“Kita lihat koperasi juga menjadi satu pertubuhan ekonomi malah memberikan dividen yang lebih baik. Ada koperasi yang memberi dividen sehingga lapan peratus kepada ahli. Justeru dengan 100 tahun penubuhan koperasi, satu hari nanti koperasi dilihat sebagai agensi atau sekurang-kurangnya sama taraf dengan korporat di dalam negara,” jelasnya.

Sempena sambutan 100 tahun koperasi, dua acara utama dirancang iaitu Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan pada 2 Julai di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur disempurnakan oleh Perdana Menteri.

Acara kemuncak iaitu Hari Koperasi Negara dan 100 Tahun Koperasi Malaysia bakal disambut pada 23 Julai iaitu pada Sabtu minggu ketiga setiap Julai setiap tahun yang dipersetujui oleh kerajaan sebagai Hari Koperasi Negara serta disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya