PETALING JAYA: Tidak semua kanak-kanak dan remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarga dalam tempoh dua tahun dari 2020 sehingga Februari lalu mempunyai nasib yang baik.
Hal ini kerana, daripada 1,424 orang yang berjaya ditemukan semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada kalangan mereka ditemukan dalam keadaan selamat selain ada yang sudah tidak bernyawa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, sebanyak 1,509 kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dalam tempoh sama di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 1,424 orang ditemukan semula manakala 85 lagi masih hilang.
Kata beliau, kebanyakan kes kanak-kanak yang dilaporkan hilang tidak semuanya ditemukan selamat.
“Ada kes yang dilaporkan kita terpaksa buka kertas siasatan selain ada juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Ini kerana, ada kes hanya menemukan jasad mangsa selepas mereka terlibat dalam kemalangan. Seperti lemas selepas terjatuh di dalam longkang atau sungai ketika bermain,” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, kata Abd. Jalil, tidak kurang juga, ada kes memaklumkan kanak-kanak dan remaja hilang tetapi apabila ditemukan mereka sudah meninggal dunia akibat menjadi mangsa bunuh.
“Sebagai contoh, kes kanak-kanak berusia empat tahun, yang dilaporkan hilang di Kuching, Sarawak pada 7 Mac lalu.
“Pada mulanya mangsa dilaporkan hilang, namun selepas soal siasat dilakukan terhadap salah seorang suspek yang ditahan, dia mengaku memukul kanak-kanak itu sehingga maut sebelum membuang mayatnya di laut,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Abd. Jalil, daripada jumlah kes yang dilaporkan dalam tempoh sama, kanak-kanak perempuan direkodkan mangsa hilang tertinggi apabila sebanyak 1,113 orang manakala 396 adalah lelaki.
Selain itu, kata Abd. Jalil, kes kehilangan paling tinggi direkodkan adalah kanak-kanak berusia 13 sehingga 17 tahun iaitu sebanyak 1,330 orang diikuti lapan hingga 12 tahun (138 orang) dan setahun hingga tujuh tahun (41 orang).
“Alasan dan punca yang sering dilaporkan kanak-kanak ini hilang adalah lari kerana terpengaruh dengan rakan sebaya dan ingin hidup bebas daripada keluarga.
“Pada usia ini, mereka hanya mengikut kehendak dan perasaan tanpa memikir jauh dan ada juga kes dilaporkan mereka sanggup mengugut ibu bapa supaya jangan cuba mencari mereka,” jelasnya.
Namun begitu, menurutnya, trend kes kehilangan bagaimanapun mencatatkan penurunan dipengaruhi kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan aktiviti luar rumah.
Kata beliau, kes tertinggi direkodkan adalah pada 2020 iaitu sebanyak 817 orang kanak-kanak dilaporkan hilang namun 803 mangsa berjaya ditemukan dan 14 lagi masih hilang.
“Bagi 2021 pula, kita merekodkan sebanyak 569 kes kehilangan kanak-kanak yang mana 531 mangsa ditemukan manakala 38 lagi masih hilang.
“Sebanyak 123 kes lagi direkodkan pada dua bulan pertama tahun ini yang mana 90 orang kanak-kanak berkenaan ditemukan semula manakala 33 lagi masih hilang,” katanya.
Justeru Abd. Jalil mengingatkan agar ibu bapa meluangkan masa untuk bercakap atau berkongsi pendapat bersama anak mereka.
Kata beliau, mereka perlu banyak melakukan aktiviti bersama anak-anak agar mereka tidak terlalu sunyi seterusnya menjerat mereka terpengaruh dengan rakan-rakan.
“Sentiasa pantau anak-anak terutamanya dengan penggunaan telefon bimbit yang semakin terdedah dengan media sosial,” tegasnya. – UTUSAN










