KLUANG: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak bercadang menyertai blok kerajaan campuran sekiranya tiada parti yang meraih undi majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, mereka hanya berminat menyertai blok pembangkang sekiranya enam calon yang bertanding memenangi mana-mana kerusi ditandingi kerana perlu bertindak menjadi sistem semak dan imbang agar tidak berlaku ketirisan dan salah guna kuasa di negeri ini.
Pada masa sama, beliau mendedahkan masih menerima ‘pelawaan’ sehingga kini daripada beberapa pihak untuk menyertai blok kerajaan.
“Kita sudah nyatakan di peringkat awal bahawa kerajaan banyak pelawa. Hari ini pun banyak pelawaan, banyaklah saya tak nak cakap, pelawaan daripada rakan saya dahulu Perdana Menteri Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), (pelawaan) daripada sekarang pun ada.
“Setakat ini rancangan kita nak jadi pembangkang untuk menjalankan fungsi semak dan imbang kerana kita tahu dan sedar pasal banyak ketirisan di peringkat negara dan negeri pun.
“Kita sudah nampak ada pengalaman berpuluh tahun dahulu apabila tiada semak dan imbang, apa yang terjadi? Duit dicuri, pengabaian berlaku, projek tidak disiapkan dan sebab itu kami mahu menyediakan nilai baik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama, calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Mohd. Noor Suleiman.
Mohd. Shafie berkata, amat penting pihaknya berada di landasan mewakili suara rakyat bagi memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan yang berintegriti dilaksanakan.
“Ini mesti disedari dan sangat penting. Takkan tak boleh (buat), Allah SWT dengan hikmahnya, malaikat pun ada di kiri kanan untuk semak, mana yang buruk mana yang baik,” katanya.
Beliau berkata, taktik pembelian wakil rakyat dan memberi imbuhan wang juga berlaku sehingga ke hari ini dengan menegaskan amalan itu wajib ditolak demi masa depan negara. – UTUSAN