JOHOR BAHRU: Veteran UMNO Johor menggesa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memohon maaf dan menarik semula dakwaan yang mengatakan masyarakat Melayu Johor kurang memahami politik Islam.
Pengerusinya, Datuk Othman Jais berkata, UMNO yang lahir di negeri itu sentiasa komited menegak dan mengembangkan lagi syiar agama Islam di seluruh Johor.
Katanya, dalam sejarah perjuangan UMNO di negeri ini, parti berkenaan melawan dan melenyapkan musuh Islam serta Melayu iaitu Malayan Union.
“Sepatutnya Tuan Guru Hadi Awang sebelum mengeluarkan kenyataan itu bertanyakan dahulu dengan rakan karibnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dia Menteri Besar Johor selama dua penggal dahulu.
“Namun, jika Tan Sri (Muhyiddin Yassin) terlupa, soalan itu boleh juga ditanyakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Johor, di sini hari ini.
Dalam temu bual bersama Utusan Malaysia Isnin lalu, Abdul Hadi berkata, kurangnya kesedaran politik Islam di Johor sebagai punca Pas tidak mampu menawan hati penduduk negeri ini walaupun menjadi antara negeri terawal ditubuhkan cawangan parti berkenaan.

Sehubungan itu, Othman menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dengan memberikan bukti kesuburan agama Islam di negeri ini dalam sektor pendidikan khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Boleh dilihat, pendidikan Islam di negeri ini subur dengan adanya sekolah agama di seluruh negeri bermula daripada tahun satu hingga enam, kemudian ditambah dengan darjah khas dan Maahad Johor. Pendidikan Islam di negeri ini sudah bermula sejak lebih 100 tahun lalu, sekolah agama dibuka sama ada di bandar atau kampung. Jadi dakwaan sedemikian adalah tidak berasas,” ujarnya.
Sehubungan itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkenaan berharap Abdul Hadi membuat kenyataan maaf ekoran dakwaan tersebut.
“Kalau dah buat salah dalam berkata-kata mohon maaf la, kalau masih tidak mahu itu menunjukkan sikap sendiri yang bongkak. Jangan hanya kerana perbezaan terus kita lupa nilai-nilai Islam,” tegasnya. – UTUSAN