Sinovac lebih sesuai, selamat untuk kanak-kanak - Utusan Malaysia

Sinovac lebih sesuai, selamat untuk kanak-kanak

Kerajaan luluskan vaksin Sinovac yang untuk digunakan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penilaian data melibatkan immuno-bridging analysis menunjukkan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac boleh menghasilkan tindak balas imun lebih tinggi kepada kanak-kanak berbanding kepada remaja dan dewasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil kajian klinikal pula mendapati vaksin berkenaan selamat dengan regimen dua dos di mana satu dos adalah 0.5ml dan dos kedua diberikan 28 hari selepas hari pertama.

Menurut beliau, laporan Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) daripada negara Cina yang melibatkan penggunaan 211 juta dos vaksin CoronaVac dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga menunjukkan bahawa vaksin ini selamat.

“Kebanyakan kesan sampingan yang dilaporkan adalah bertahap ringan dan sederhana serta bersifat sementara.

“Pandangan pakar juga telah dirujuk di mana kelulusan untuk kegunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan kanak-kanak telah dipersetujui oleh pakar-pakar berkaitan,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 memberikan kelulusan bersyarat Vaksin CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd. China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. Malaysia bagi penggunaan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Diluluskan

CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berusia 12 tahun dan ke atas dan ini merupakan vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan kanak-kanak.

Pada 6 Januari lalu kelulusan diberikan kepada vaksin Comirnaty untuk vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Noor Hisham berkata, berdasarkan pertimbangan manfaat melebihi risiko (benefit-risk balance), PBKD memberikan kelulusan bersyarat untuk kegunaan vaksin CoronaVac untuk golongan kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke atas.

Buat masa ini, kata beliau, keperluan dos penggalak untuk golongan kanak-kanak belum ditentukan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) CITF-C, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, CITF-C akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi memperincikan tentang suntikan vaksin Sinovac kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Menurut beliau, pihaknya akan memberikan maklumat lanjut mengenai penggunaan vaksin yang baharu diluluskan selepas mesyuarat diadakan nanti.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, suntikan dos penggalak untuk golongan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun belum dibincangkan.

“Vaksin Sinovac telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dalam mesyuarat ke 370 semalam (kelmarin) iaitu yang kedua selepas vaksin Pfizer diluluskan pada 6 Januari lalu.

“CITF-C akan adakan mesyuarat pada Isnin ini dan selepas itu akan keluarkan kenyataan untuk maklumkan lebih lanjut mengenai vaksin Sinovac untuk kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN