UMNO terbuka terima mereka yang ingin kembali 

UMNO terbuka terima mereka yang ingin kembali 

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap selepas Laili Yusof mengumumkan keluar Bersatu di Endau, Mersing, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: UMNO berlapang dada menerima mereka yang ingin kembali kepada parti itu atas dasar untuk bersama-sama dalam perjuangan membela masyarakat Melayu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO sebuah parti terbuka dan sekiranya tidak mahu menyertai parti itu, Barisan Nasional (BN) ada klausa untuk menerima mereka sebagai ahli secara langsung.

“Insya-Allah bukan dengan hanya ada peraturan dalam UMNO, malah UMNO berlapang dada terima mereka kembali atas dasar perjuangan membela masyarakat Melayu. Terima kasih kepada saudara Mazlan Bujang dan Laili Yusof. UMNO sebuah parti terbuka malah kalau tak nak terus masuk UMNO terus pun, dalam BN ada klausa untuk terima mereka sebagai ahli langsung. Dua pentas ini boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mersing, Laili Yusof mengumumkan keluar parti di Endau hari ini.

Pengumuman keluar parti dibuat pada majlis makan tengah hari yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mohd. Youzaimi Yusof.

 Ahmad Zahid berkata, lebih ramai lagi yang akan mengikut jejak Laili, malah bukan sahaja dari Mersing tetapi juga Kota Tinggi, Pengerang serta seluruh Johor.

Beliau turut mengingatkan kepada mereka yang mahu membuat keputusan itu agar tidak perlu tunggu sehingga 12 Februari.

Sementara itu, Najib berkata, tindakan Laili keluar Bersatu adalah satu gambaran yang amat memberangsangkan terhadap UMNO.

“Sebagai manusia biasa kita tidak sunyi dari kekhilafan dan kesilapan. Kita sebagai manusia mesti ada sifat kemaafan sesama insan. Saya dan rakan-rakan dalam BN terima sesiapa yang ingin kembali ke landasan perjuangan bersama kita. Saya harap ini akan memberi satu isyarat yang jelas kepada yang lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya