UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) komited untuk terus menyantuni mahasiswa B40 dengan melaksanakan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).
Program yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bermula tahun ini akan dimanfaat oleh mahasiswa universiti di seluruh negara.
Apa yang membezakan program ini daripada program-program yang lain adalah, pelajar bukan sahaja dibantu melalui laluan khusus kemasukan ke universiti awam, tetapi turut ditawarkan biasiswa, tempat tinggal serta bimbingan khas daripada pembimbing terpilih sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan.
Program yang digerakkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ini mendapat sokongan penuh daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam ucapannya ketika merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Parit Sulong baru-baru ini, Perdana Menteri menyifatkan SULUNG sebagai sebuah program yang unik dan istimewa.
UKM menyokong program ini kerana ia mampu memberi peluang kepada lebih ramai pelajar, khususnya daripada golongan B40 untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing melalui laluan kerjaya yang lebih cemerlang.
UKM juga merupakan salah sebuah universiti awam yang terpilih bagi melaksanakan Program SULUNG di bawah strategi ketujuh dalam Amanat Tahun 2022 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad iaitu Menyemarak Semangat #KPTPrihatin.
Projek ini dijangka mampu meningkatkan imej pengajian tinggi negara seterusnya membuktikan sistem pendidikan di Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan.
Inisiatif SULUNG juga adalah selari dengan prakarsa Prihatin UKM yang menekankan dua aspek utama iaitu kebajikan dan kemasyarakatan.
Kebajikan pelajar merupakan suatu tanggungjawab moral yang menjadi fokus pentadbiran universiti. Justeru, agenda ini perlu dilestarikan agar pelajar mampu menumpukan sepenuh daya usaha untuk mengukir kejayaan yang membanggakan dan mengharumkan nama universiti. Hubungan erat dan kerjasama strategik boleh dibina antara pihak pentadbiran, fakulti, kolej dan persatuan pelajar.
Bantuan kewangan juga diperuntukkan kepada pelajar bagi menyokong penganjuran program berimpak yang memberi nilai tambah kepada aktiviti pembelajaran mereka.
Universiti sewajarnya menjadi kawasan terbuka kepada segenap anggota masyarakat dan bersifat mesra masyarakat. Sesuai dengan misi penubuhannya sebagai sebuah universiti watan, UKM berperanan untuk menjana, menyebar dan menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakat.
Prakarsa universiti untuk masyarakat menitikberatkan pemindahan ilmu dengan pengisian kesarjanaan menggunakan pendekatan quadarplehelix iaitu kolaborasi universiti-agensi-industri-komuniti yang merupakan penambahbaikan kepada inisiatif program pemindahan ilmu. Prakarsa ini turut mendokong inisiatif SULUNG yang baru dilancarkan oleh KPT.
Buktinya, UKM telah berjaya meneraju Projek Akademi Menara Gading (AMG) sejak tahun 1999, yang mempunyai matlamat untuk melahirkan seorang graduan daripada setiap keluarga miskin dan anak yatim serta murid Orang Asli di negeri Pahang.
AMG ini dinaungi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Objektif utama AMG ialah memastikan peserta mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melahirkan pelajar holistik dan seterusnya menjejakkan kaki ke menara gading.
Akademi ini adalah suatu program intervensi jangka panjang yang menggunakan pendekatan Multiple Integrated Intervention Module (MIIM-AMG) Sejak penubuhannya, AMG telah melahirkan lebih daripada 987 pelajar cemerlang dari negeri Pahang yang mengikuti pengajian di pelbagai IPT dalam dan luar negara.
Program ini juga telah berjaya menyediakan modul yang lebih sesuai dengan keperluan gaya pembelajaran pelajar yang kurang bernasib baik, khususnya pelajar luar bandar untuk bersaing dengan pelajar di bandar.
Adalah menjadi harapan semua pihak agar masyarakat di luar bandar mengambil kesempatan ini bagi mengubah landskap ekonomi keluarga selepas ada dalam kalangan keluarga mereka terpilih untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
- PROF. DATO’ Ts. DR. MOHD EKHWAN HJ. TORIMAN ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia