SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil langkah menubuhkan kolej pengajian dengan menggabungkan beberapa fakulti sebagai langkah memastikan kursus ditawarkan terus relevan.
Daripada 26 fakulti, kini sebanyak tujuh digabungkan membentuk kolej seperti Fakulti Kejuruteraan Kimia, Awam, Mekanikal dan Elektrik membentuk Kolej Kejuruteraan.
Terbaru, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Filem dan Teknologi Animasi serta Muzik digabungkan menjadi Kolej Seni Kreatif pada bulan ini.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, proses pembentukan kolej adalah melalui kelulusan di peringkat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) serta kementerian sebelum dilaksanakan.
Masa hadapan
“Langkah itu dibuat atas dasar memikirkan masa hadapan, kalau di Singapura pun, mereka sudah laksanakan gabungan itu, malah ada yang gabungkan bidang sains dan bukan sains.
“Daripada 26 fakulti, sekarang kita sudah kurangkan tujuh fakulti menerusi penubuhan dua kolej berkenaan. Maksudnya, bidang masih ada dan kursus yang diluluskan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) masih ditawarkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sijil akreditasi bagi bidang sains sosial melibatkan kategori sijil dan diploma banyak digugurkan oleh institusi pendidikan berikutan perubahan industri dan keperluan semasa.
Namun Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kursus perakaunan dan percukaian, pengurusan dan pentadbiran serta sains komputer antara bidang sains sosial yang terus mendapat permintaan daripada pihak industri.
Menurutnya, pengguguran bidang itu dengan memulangkan sijil akreditasi bukanlah bermakna bidang yang ditawarkan tidak mempunyai masa depan.
Digugurkan
Dalam pada itu, Roziah memaklumkan tiada bidang di UiTM digugurkan ketika ini dan kali terakhir semakan dibuat pada 2008 hingga 2010 hanya menggugurkan kursus atau subjek tertentu pada 2020.
“Setakat ini kursus masih relevan dan kita suda semak semua kursus itu untuk menepati garis panduan MQA,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kursus-kursus yang digugurkan perlu melalui pelbagai proses semakan serta jumud dalam tempoh dua tahun.
“Dalam konteks MQA, proses untuk menjumudkan (kita buat semakan kurikulum) kalau didapati melebihi 30 peratus tak sesuai atau diganti, akan dibawa kepada kementerian.
“Di situ akan ditetapkan sama ada kita hendak jumud atau hapus. Jumud itu adalah beri ruang kepada kursus tersebut selama dua tahun, kalau dalam tempoh tersebut hendak dihidupkan semula, maka boleh,” jelasnya.- UTUSAN